KUALA LUMPUR: Polis menahan empat lelaki disyaki terbabit dalam kes pergaduhan di sebuah pusat hiburan di Jalan Metro Pudu di sini awal pagi Sabtu.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa berkata, dalam kejadian pada jam 3.45 pagi itu, sekumpulan lelaki tempatan bersenjatakan pistol dan parang dilaporkan bergaduh selain turut dilaporkan melepaskan tembakan.

"Pihak polis bergegas ke lokasi kejadian sebaik menerima maklumat menemui tiga butir kelongsong peluru dan dua butir peluru hidup di lokasi kejadian," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Rusdi berkata, akibat daripada kejadian pergaduhan itu empat lelaki berusia antara 29 hingga 40 tahun dipercayai mengalami kecederaan disebabkan senjata tajam dan telah mendapatkan rawatan di Hospital Kuala Lumpur dan Hospital Ampang.

"Kesemua mangsa kemudian telah dibenarkan keluar dari hospital sebelum pihak polis menahan mereka bagi membantu siasatan," katanya.

Rusdi berkata, kesemua suspek akan ditahan reman pagi ini (Ahad) untuk siasatan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan dan Seksyen 39 Akta Senjata Api 1960.

"Pada masa ini, kita sedang menyiasat sama ada kejadian pergaduhan yang berlaku mempunyai kaitan dengan kumpulan kongsi gelap, selain berusaha mengesan pistol dan senjata tajam yang digunakan," katanya.

Rusdi berkata, pihaknya memberi amaran keras kepada orang ramai agar tidak terlibat dengan sebarang kegiatan yang melanggar undang-undang.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian ini diminta menghubungi talian hotline Polis KL iaitu 03-21159999 atau datang ke mana-mana Balai Polis berhampiran," katanya. - Sinar Harian