KUALA LUMPUR: Sebanyak 3,270 kes baharu COVID-19 dilaporkan hari ini menjadikan jumlah kes kumulatif di negara ini meningkat kepada 2,773,156.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata daripada jumlah kes baharu itu, 69 kes adalah Kategori Tiga, Empat dan Lima manakala 3,201 kes ialah Kategori Satu dan Dua.

“Kes memerlukan rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) ialah 257 manakala kes memerlukan bantuan pernafasan adalah 137,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mengenai jumlah kes sembuh pula, Dr Noor Hisham berkata 3,195 kes dicatatkan menjadikan jumlah kumulatif pulih daripada jangkitan wabak itu adalah 2,701,808 kes.

Dalam perkembangan sama, empat kluster baharu turut dikenal pasti dengan 195 kluster masih aktif setakat ini.

Dr Noor Hisham juga memaklumkan jumlah keseluruhan kes positif COVID-19 dalam kalangan mangsa banjir kekal sebanyak 465 kes

Bagaimanapun, sebanyak 58 kes penyakit berjangkit dikesan dalam kalangan mangsa banjir terdiri daripada 32 kes Jangkitan Saluran Pernafasan Akut, penyakit kulit (20) serta Acute Gastroenteritis (enam).