Seramai 3,000 pengundi berdaftar Indonesia yang berada di Pulau Pinang dijangka akan menunaikan tanggungjawab mereka pada hari pengundian awal Pilihan Raya Presiden (Pilpres) Indonesia yang berlangsung esok.

Ketua Panitia Pemilihan Luar Negeri Perwakilan Republik Indonesia-Penang, Ferdinand Murni Hamundu berkata kesemua pengundi rakyat Repubik Indonesia itu yang akan datang mengundi di Pejabat Konsulat Jenderal Republik Indonesia di Jalan Burma adalah mereka yang tinggal di bahagian Pulau dan Seberang Perai.

"Jumlah rasmi berakhir pada 10 Dis 2018, jumlah pemilih yang berdaftar adalah 2,472 pengundi, bagaimanapun berdasarkan maklumat kami terima, jumlah itu meningkat kepada 3,000 berikutan terdapat penambahan rakyat Indonesia yang berpindah ke sini, " katanya kepada Bernama ketika ditemui di pejabat konsulat untuk melihat persiapan Pilpres 2019 di sini hari ini.

Ferdinand berkata faktor penambahan jumlah pengundi itu adalah dsebabkan terdapat warga negara tersebut datang menetap ke Pulau Pinang untuk melanjutkan pengajian dan juga pesakit-pesakit yang sedang mendapatkan rawatan di rumah sakit di negeri ini.

Mengulas lanjut, Ferdinand berkata terdapat 12 Tempat Pemungutan Suara Luar Negeri (TPLSN) disediakan esok.

"Peti undi untuk satu tempat pengundian itu ada tiga iaitu satu untuk calon Presiden, Naib Presiden dan dua lagi untuk calon Dewan Perwakilan Rakyat (DPR).

"Mengapa dua peti undi sebab untuk undi calon DPR dia terlalu besar dan makan tempat untuk peti undi. Peserta DPR berjumlah 16 partai (parti) politik. Sebab itu kertas suara (kertas undi) besar, setiap satu parti calonnya adalah berjumlah lima hingga tujuh orang dan total yang bertanding adalah 105 orang untuk calon DPR. Untuk Presiden, calon hanya dua sahaja maka peti undi untuk satu tempat sahaja," katanya

Ferdinand berkata jumlah keseluruhan pengundi berdaftar Indonesia yang berada di Pulau Pinang adalah lebih 60,000.

Daripada jumlah itu katanya, jumlah yang akan hadir untuk mengundi di pusat pengundian adalah kira-kira 3,000 orang manakala yang lainnya akan mengundi pos dan menerusi undi kotak suara keliling yang merupakan satu kaedah pengundian baharu dimana proses pengundian akan dilakukan di tempat kerja pengundi terbabit.

Beliau berkata setakat ini jumlah pengundi melalui pos adalah 27,714 manakala menerusi undi kotak suara sekeliling ialah 30,557.

Dalam pada itu Ferdinand turut menasihatkan para pengundi agar tidak melakukan sebarang pencerobohan atau insiden yang tidak diingini ketika proses pengundian berjalan esok.

"Mari sama-sama datang ke tempat pungutan suara luar negeri dan memilih pemimpin untuk memerintah. Walau kita berbeda pandangan politik, tapi jangan sampai berlaku insiden tidak elok dan berpecah, apatah lagi kita di Malaysia, kita perlu ikut norma-norma dan undang undang di Malaysia, " katanya.

Dalam Pilpres 2019, Presiden Joko Widodo (Jokowi) akan mempertahankan jawatan Presiden Indonesia untuk penggal kedua bergandingan dengan pasangan baharu Ma'ruf Amin, seorang ulama berpengaruh Indonesia, sebagai naib Presiden.

Mereka akan ditentang oleh bekas ketua tentera Prabowo Subianto yang bergandingan dengan bekas timbalan gabenor Jakarta Sandiaga Uno, 49.

Menurut Komisi Pemilihan Umum (KPU) terdapat 711 kerusi menjadi rebutan dalam Majelis Permusyarawatan Rakyat (MPR) yang terdiri daripada 575 anggota Dewan Perwakilan Rakyat (DPR) dan 136 Dewan Perwakilan Daerah (DPD).

Juga terbuka untuk rebutan ialah lebih 19,500 kerusi di lebih 2,000 daerah, perbandaran dan daerah pemilihan dewan legislatif.