Ringkasan AI
- Boeing setuju mengaku bersalah atas pertuduhan konspirasi penipuan jenayah berkaitan kemalangan maut dua pesawat 737 MAX dan bersetuju membayar denda AS$243.6 juta untuk menyelesaikan siasatan.
- Penyelesaian ini memerlukan kelulusan hakim dan mencetuskan kritikan daripada keluarga mangsa yang mahukan hukuman lebih berat serta perbicaraan penuh terhadap Boeing.
- Boeing juga akan membelanjakan sekurang-kurangnya AS$455 juta dalam tempoh tiga tahun untuk meningkatkan program keselamatan dan pematuhan, serta lembaga syarikat perlu bertemu dengan waris mangsa kemalangan.
Perjanjian pengakuan berkenaan - yang memerlukan kelulusan hakim - akan meletakkan syarikat pengeluar pesawat itu dengan sabitan kesalahan membabitkan nahas terbabit yang masing-masing berlaku di Indonesia serta Ethiopia pada 2018 dan 2019 sehingga mengorbankan 346 mangsa.
Bagaimanapun, penyelesaian bagi kes yang disiasat Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (AS) itu mencetuskan kritikan daripada keluarga mangsa yang mahu Boeing menjalani perbicaraan dan dikenakan hukuman lebih berat.
Pengakuan bersalah itu - sekiranya dilakukan - berpotensi menggugat keupayaan Boeing untuk memperoleh kontrak kerajaan yang lumayan, termasuk daripada Jabatan Pertahanan AS serta Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Kebangsaan (NASA).
Boeing berdepan pertuduhan jenayah selepas Jabatan Kehakiman pada Mei lalu mendapati syarikat itu melanggar penyelesaian pada 2021 membabitkan kemalangan maut.
Sementara itu, jurucakap Boeing mengesahkan syarikat berkenaan telah 'mencapai satu perjanjian secara prinsip dari segi terma penyelesaian dengan Jabatan Kehakiman.'
Perjanjian itu termasuk persetujuan Boeing untuk membelanjakan sekurang-kurang AS$455 juta dalam tempoh tiga tahun akan datang bagi mempertingkatkan program keselamatan serta pematuhan.
Menurut pemfailan itu lagi, pihak lembaga Boeing juga perlu mengadakan pertemuan dengan waris mangsa yang terkorban dalam kemalangan pesawat MAX terbabit.
Selain itu, pemantau bebas akan turut meneliti pematuhan Boeing sepanjang tempoh tiga tahun.
Bagaimanapun, peguam kepada beberapa keluarga mangsa memberitahu, mereka merancang untuk menggesa Hakim Reed O'Connor yang akan membuat keputusan berhubung perkara itu, supaya menolak perjanjian berkenaan.