SEOUL: Kotak hitam sebuah pesawat penumpang yang mengalami nahas di lapangan terbang barat daya Korea Selatan pada akhir bulan lepas gagal berfungsi selama empat minit terakhir sebelum kejadian, menurut Kementerian Pengangkutan pada Sabtu, lapor Xinhua.

Hasil analisis perakam data penerbangan (FDR) dan perakam suara kokpit (CVR) pesawat itu oleh Lembaga Keselamatan Pengangkutan Kebangsaan Amerika Syarikat mendapati penyimpanan data dalam kedua-dua peranti itu terhenti kira-kira empat minit sebelum pesawat tersebut merempuh sebuah "localiser", menurut Kementerian Tanah, Infrastruktur dan Pengangkutan.

Jawatankuasa Penyiasatan Kemalangan Penerbangan dan Kereta Api kementerian itu merancang untuk mengenal pasti punca kegagalan penyimpanan data berkenaan.

"Localiser" merujuk kepada sebahagian peralatan sistem pendaratan yang memberikan panduan kepada pesawat untuk memastikan ia berada di garis tengah landasan.

Pada 29 Disember lepas, sebuah pesawat Jeju Air yang membawa 181 orang dari Bangkok mendarat tanpa gear pendaratan, tergelincir dari landasan, dan melanggar bongkah konkrit yang dilengkapi "localiser" di hujung landasan Lapangan Terbang Antarabangsa Muan, kira-kira 290 km ke barat daya Seoul.

Kemalangan itu mengorbankan 179 orang di dalam pesawat, manakala dua kru berjaya diselamatkan.

Enam minit sebelum nahas, seorang pengawal trafik udara di lapangan terbang memberi amaran kepada pesawat itu tentang pelanggaran dengan burung.

Empat minit sebelum kejadian, kapten pesawat menjerit "Mayday" dan mengumumkan untuk berpatah balik ke lapangan terbang.

Kementerian itu berkata siasatan terhadap kemalangan berkenaan boleh dilakukan melalui analisis pelbagai data lain, selain FDR dan CVR, sambil berikrar untuk berusaha sedaya upaya merungkai punca kejadian.

-- BERNAMA