Perhimpunan yang diadakan bagi mendesak Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berundur itu bermula pada pukul 2 petang itu dan kurang mendapat sambutan kerana sebelum ini kumpulan itu mensasarkan penyertaan lebih 500 individu sekitar ibu negara.
Walau bagaimanapun, menurut kenyataan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Tajudin Md Isa, dianggarkan hanya lebih kurang 200 orang terlibat dalam perhimpunan ini.
Sebelum itu kelihatan tiga buah trak polis dan lebih 40 pegawai polis beserta polis trafik telah berada di sekitar perkarangan pusat membeli-belah itu bagi mengawal keadaan.
Antara pegawai polis yang berada di sekitar Jalan Tunku Abdul Rahman pada seawal jam 1.15 petang. - Foto Astro AWANI / MARIAH AHMAD
Keadaan berubah kecoh kira-kira 50 minit kemudian apabila polis bertindak tegas dan mula menahan peserta demonstrasi kerana tidak mengendahkan amaran polis untuk bersurai. Tindakan ini dipercayai berikutan berlakunya beberapa letupan mercun hadapan perkarangan Sogo KL.Antara mereka yang ditahan ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Teja, Chang Lih Kang dan ADUN Simpang Pulai, Tan Kar Hing serta aktivis pelajar, Fahmi Zainol.
"Saya ditahan tapi tak tahu sebab apa" kata Fahmi Zainol (berkaca mata hitam) apabila dia ditahan ketika perhimpunan #TangkapNajib berlangsung di sekitar kompleks membeli belah Sogo KL - Foto Astro AWANI / MARIAH AHMAD
Ketika ditahan, Tan dan Chang berkata mereka tidak diberitahu sebab kenapa mereka ditahan."Ya, kami ditahan. Tapi tidak diberitahu kenapa ditahan. Kami pun tidak tahu kami akan dibawa ke balai polis yang mana," kata Tan sebelum dibawa sekumpulan polis ke dalam trak polis.
Sebelum ditahan, Tan dan Chang dilihat sedang berbincang dengan pihak polis. Mereka diminta untuk beredar daripada berada di kompleks beli belah itu.
"Kami sedikit keliru apabila polis meminta kami untuk beredar, tapi kami pun belum berkumpul pun lagi," kata Chang.
Keadaan bertambah huru-hara sehingga polis mengarahkan Jalan Tunku Abdul Rahman, Jalan Esfahan dan kedai di sekitar kompleks membeli belah itu ditutup buat sementara waktu pada pukul 3 petang.
Seorang lelaki ditahan polis ketika melaungkan sesuatu sewaktu demonstrasi yang diadakan di hadapan pusat membeli-belah KL Sogo di Jalan Tuanku Abdul Rahman pada Sabtu, 1 Ogos 2015. - Astro AWANI / SHAHIR OMAR
Polis turut mengarahkan orang ramai termasuk media beredar daripada berada di hadapan pintu masuk utama Sogo.
Pada jam 3.10 petang, kelihatan dua bas Polis Diraja Malaysia (PDRM) tiba di Jalan Tunku Abdul Rahman untuk menempatkan anggota polis tambahan di kawasan terbabit bagi mengawal keadaan.
Setakat jam 3.22 petang dianggarkan lebih 100 anggota polis berada di Jalan Tunku Abdul Rahman berhadapan dengan pintu depan Sogo KL berbanding hanya 30 hingga 40 orang pada jam 1.15 petang.
Jumlah trak polis juga meningkat kepada enam buah berbanding jam 1.15 petang tadi yang hanya 3 buah.
Keadaan kembali tenang selepas itu dengan beberapa kedai sekitar yang ditutup seketika sebelum demonstrasi bermula, dibuka kembali.
Menurut Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Tajudin Md Isa kesemua individu terbabit yang ditahan berumur dalam lingkungan 14 hingga 69 tahun.
"Mereka disiasat di bawah Seksyen 143 Kanun Keseksaan, iaitu sesiapa yang menjadi seorang anggota sesuatu perhimpunan yang menyalahi undang-undang, hukumannya boleh dipenjara selama tempoh sehingga enam bulan, atau denda, atau kedua-duanya.
"Siasatan juga dijalankan di bawah Seksyen 124 Kanun Keseksaan, iaitu aktiviti-aktiviti yang memudaratkan demokrasi berparlimen, dan boleh membawa hukuman penjara selama tempoh 20 tahun," katanya menerusi kenyataan media, hari ini.
Beliau berkata kesemua individu ditahan itu akan dihadapkan ke mahkamah bagi mendapatkan perintah tahanan reman untuk membantu siasatan polis.