TAWAU: Pihak pendakwaan akan membuktikan 13 pelajar Kolej Vokasional Lahad Datu yang didakwa membunuh Mohamad Nazmie Aizzat Mohd Narul Azwan, telah memukul pelajar program Biokteknologi di kolej sama itu sebelum mangsa meninggal dunia.

Timbalan Pendakwa Raya Nur Nisla Abd Latif berkata bedah siasat yang dijalankan oleh Pakar Perubatan Forensik ke atas mayat Mohamad Nazmie Aizzat pada 23 Mac 2024 mengesahkan punca kematian adalah kecederaan dada dan tisu lembut disebabkan objek tumpul.

"Semua tertuduh merupakan pelajar di Kolej Vokasional Lahad Datu pada masa kejadian, sebelum kematian mangsa, si mati dipukul oleh semua tertuduh antara 9 malam pada 21 Mac 2024 sehingga jam 7.35 pagi pada 22 Mac 2024, di bilik asrama 7 Resak dan 5 Belian di Kolej Vokasional Lahad Datu," katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan pembukaan pada hari pertama perbicaraan kes 13 pelajar kolej vokasional itu yang didakwa membunuh Mohamad Nazmie Aizzat, 17, di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Duncan Sikodol.

Nur Nisla berkata Pengarah Kolej Vokasional Lahad Datu Ahmad Fakhrurazi Hamzah menerima panggilan telefon pada 6.50 pagi, 22 Mac, daripada warden kolej, Muhammad Nuhrullah Aminuddin yang memberitahu Mohd Nazmie Aizzat ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri di bilik asrama 7 Belian.

"Ahmad Fakhrurazi segera bergegas ke bilik asrama 7 Belian dan setibanya di sana beliau mendapati pelajar berkenaan dalam keadaan terbaring di atas tilam yang diletakkan di lantai, dan Muhammad Nuhrullah juga berada di bilik sama serta berhampiran Mohd Nazmie Aizzat.

"Ahmad Fakhrurazi kemudian melakukan pemeriksaan awal nadi pelajar itu dan cuba mendengar degupan jantung pelajar itu lalu memberi bantuan penafasan kecemasan (CPR), pada masa sama Ahmad Fakhrurazi juga meminta Muhammad Nuhrullah menghubungi ambulans," katanya.

Nur Nisla berkata pengarah kolej vokasional itu turut melihat kesan lebam pada tulang rusuk kiri Mohd Nazmie Aizzat ketika melakukan CPR.

"Ahmad Fakhrurazi kemudian bertanya kepada seorang pelajar iaitu tertuduh kedua, yang duduk di katil berdekatan, mengenai apa yang berlaku kepada Mohd Nazmie Aizzat dan pelajar itu memberitahu bahawa mangsa dipukul pada malam sebelumnya,

"Pada 7.20 pagi, ambulans tiba di Kolej Vokasional Lahad Datu, dan Mohd Nazmie Aizzat kemudian disahkan meninggal dunia pada jam 7.38 pagi," katanya.

Menurut Nur Nisla, saksi-saksi pendakwaan termasuk saksi mata, pegawai polis, pakar, serta bukti keadaan akan membuktikan kes ini melampaui keraguan munasabah.

Pada hari ini, hakim bersama timbalan pendakwa raya termasuk peguam turut melawat lokasi kejadian di kolej itu.

Terdahulu, sebelum perbicaraan bermula, Nur Nisla memohon agar prosiding di Mahkamah Tinggi diisytihar sebagai perbicaraan di Mahkamah bagi Kanak-kanak mengikut Seksyen 11 Akta Kanak-Kanak 2001 dan media tidak dibenarkan mengikuti prosiding kerana membabitkan pesalah bawah umur.

Hakim Duncan kemudian meminta pihak tidak berkenaan selain ibu bapa atau penjaga supaya keluar dari bilik perbicaraan.

Mengikut pertuduhan, 13 tertuduh yang berumur antara 16 hingga 19 tahun itu didakwa secara bersama-sama membunuh Mohamad Nazmie Aizzat di Bilik Asrama 7 Resak dan 5 Belian, Kolej Vokasional Lahad Datu pada 9 malam, 21 Mac hingga 7.38 pagi, 22 Mac lepas.

Mereka dituduh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara 30 hingga 40 tahun serta tidak lebih 12 sebatan, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan turut dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Ng Juhn Tao serta Nur Batrisyia Mohd Khusri manakala sembilan daripada 13 remaja itu diwakili peguam Datuk Ram Singh, Chen Wen Jye dan Kamarudin Mohmad Chinki, selain dua remaja lain diwakili peguam Abdul Ghani Zelika serta dua lagi masing-masing diwakili peguam Vivian Thien dan Jhassany P Kang.

-- BERNAMA