PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan di sini telah mengekalkan hukuman penjara enam tahun yang dijatuhkan ke atas seorang peguam dan suaminya kerana menggunakan dokumen palsu untuk memindahkan harta pada 2013.

Panel tiga hakim terdiri daripada Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim, Datuk Azmi Ariffin dan Datuk Dr Choo Kah Sing membuat keputusan itu selepas menolak permohonan semakan kehakiman pasangan tersebut.

K. Parminder Kaur, 62, dan T.S. Bir Singh, 66, membuat permohonan itu atas alasan pertuduhan terhadap mereka adalah cacat.

Dalam penghakiman 24 halaman bertarikh 27 Ogos lepas yang dimuat naik dalam laman sesawang badan kehakiman, Choo berkata pertuduhan terhadap pasangan itu tidak cacat dan telah dibuat dengan teratur serta tidak menyalahi undang-undang atau tidak sah.

Pada Disember tahun lepas, Mahkamah Rayuan bersetuju mendengar semakan kehakiman itu berdasarkan satu persoalan undang-undang iaitu sama ada hukuman bagi kesalahan di bawah Seksyen 471 Kanun Keseksaan ditetapkan dalam Seksyen 465 dan bukan Seksyen 467 kanun sama.

Pasangan itu mendakwa bagi kesalahan di bawah Seksyen 471 Kanun Keseksaan, hukuman sepatutnya mengikut Seksyen 465 dan bukan Seksyen 467 kanun sama.

Hukuman di bawah Seksyen 465 Kanun Keseksaan ialah penjara hingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya manakala di bawah Seksyen 467 kanun sama, pesalah berdepan hukuman penjara hingga 20 tahun dan denda.

Choo berkata umum mengetahui bahawa Pendakwa Raya mempunyai kuasa yang luas untuk memulakan prosiding jenayah termasuk memilih kesalahan yang akan didakwa.

Beliau berkata dalam kes ini, Pendakwa Raya telah memilih untuk mendakwa perayu bagi kesalahan menggunakan dokumen palsu dan dokumen itu termasuk dalam dokumen terkelas yang disenaraikan dalam Seksyen 467.

Justeru itu, Choo berkata pertuduhan dan hukuman di bawah seksyen itu adalah dibuat dengan teratur dalam lingkungan undang-undang.

Parminder didapati bersalah oleh Mahkamah Sesyen pada 18 April 2018 kerana menggunakan dokumen palsu sebagai tulen untuk memindahkan sebidang tanah di Bukit Permata, Gombak, Selangor.

Beliau didakwa melakukan kesalahan itu di Pejabat Tanah dan Lombong Selangor di Shah Alam pada 10 April 2013.

Bir, yang juga seorang bekas juruterbang, didakwa bersubahat dengan isterinya.

Mahkamah Sesyen telah menjatuhkan hukuman penjara sembilan tahun ke atas pasangan itu dan rayuan mereka ditolak oleh Mahkamah Tinggi pada 4 Julai 2019.

Pada 10 Julai tahun lepas, panel lain Mahkamah Rayuan membenarkan sebahagian daripada rayuan pasangan itu dan mengurangkan tempoh hukuman penjara mereka daripada sembilan kepada enam tahun namun mengekalkan keputusan berkaitan sabitan.

-- BERNAMA