SEMPORNA: Sebanyak 27 buah rumah setinggan atas air di Kampung Simunul, di sini, roboh tengah hari tadi dipercayai akibat cuaca buruk dan angin kencang.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Air Semporna, Noor Jali Maslah ketika dihubungi memberitahu pihak bomba menerima panggilan kecemasan 12.00 tengah hari.

“Tiada mangsa yang cedera dilaporkan, anggaran keluasan kawasan rumah yang roboh sekitar 200 meter,” katanya.

Menurut beliau, pihak bomba telah membuat operasi mengosongkan bangunan rumah dengan memasang sawar dan membantu memindahkan mangsa untuk berkumpul di kawasan darat iaitu ke dewan terdekat.

“Punca sebenar kejadian masih disiasat dan kita masih menunggu laporan daripada pihak berkenaan,”katanya.