Ketua Setiausaha MOSTI Datuk Dr Aminuddin Hashim berkata penyertaan 57 sekolah pada program melalui Agensi Angkasa Malaysia (MYSA) itu melebihi sasaran 14,000 peserta sekali gus menjayakan hasrat kementerian bagi memperkasakan penglibatan pelajar dan masyarakat dalam bidang berkenaan.
"Kita tahu STEM adalah sektor yang mencabar dan ramai yang kurang berminat kerana ia memerlukan kemahiran tertentu tetapi melalui prestasi program ini, diharapkan minat ini kekal sehingga peserta dapat menjadi saintis negara.
"Pada tahun 2030 kita sasarkan untuk menjadi negara maju dan kita harap anak-anak ini boleh menjadi pencetus inovasi serta terlibat dalam penciptaan kod, teknologi dan sebagainya," kata beliau kepada pemberita selepas merasmikan penutupan Program Jurutera Angkasa Muda di sini pada Khamis.
Program itu, yang bermula 23 Sept lepas, melibatkan pembangunan minat dan kemahiran menerusi aktiviti seperti model CubeSat selain pertandingan melukis serta mewarna bertemakan angkasa sempena Minggu Sains Negara 2024 dan Minggu Angkasa Sedunia 2024 Malaysia.
Ia dilaksanakan dengan rakan kerjasama strategik iaitu SpaceIn Sdn Bhd dan Universiti Sains Malaysia.
Aminuddin juga berharap pembentangan Belanjawan 2025 akan memberi khabar gembira kepada warga MOSTI khususnya bagi mengembangkan lagi program penerapan minat STEM dalam kalangan rakyat Malaysia.
"Indeks Inovasi Global kita telah melonjak daripada tangga 36 kepada tangga 33 dan tidak mustahil kita mampu mencapai tangga 30 dan ini merupakan langkah-langkah awal dalam memupuk minat generasi muda supaya kita dapat mencapai peringkat yang lebih baik," katanya.
Terdahulu, Kumpulan Skolvengers dari Sekolah Kebangsaan Olak Lempit muncul juara bagi pertandingan Model Cubesat menewaskan 22 kumpulan lain pada kemuncak program pada Khamis.
Guru pengiring Adila Nordin melihat program itu sebagai platform yang baik untuk mengembangkan lagi minat muridnya selain memberikan pendedahan tentang karier dalam bidang STEM.
"Sebenarnya pengekodan pengaturcaraan ini memang ada diajar kepada mereka dalam mata pelajaran Reka Bentuk Teknologi jadi kami rasa kami perlu ambil peluang ini sebagai memberi ruang, pendedahan dan pengalaman kepada murid-murid," katanya.
Ketua Kumpulan Skolvengers Aminuddin Aiman Mohd Saiful,12, pula berhasrat mengikut jejak langkah ayahnya sebagai jurutera dan memilih kejuruteraan angkasa yang menjadi minat beliau sejak kecil.
"Seronok dapat sertai program ini bersama rakan-rakan yang mempunyai minat sama dan kami dapat belajar benda baharu serta mengaplikasikan apa yang kami belajar di sekolah," katanya.
-- BERNAMA