KUALA LUMPUR: Seramai 204 sukarelawan di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Ideal Convention Centre (IDCC), Shah Alam disahkan positif selepas saringan beramai-ramai dilakukan pada 10 Julai.

Perkara ini diumumkan Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK), Khairy Jamaluddin Abu Bakar pada sidang media khas secara maya hari ini. 

Menurutnya, saringan COVID-19 beramai-ramai kepada petugas di IDCC dibuat sebaik sahaja pihaknya mendapat laporan mengenai dua sukarelawan yang disahkan positif.

"Ujian ini telah dijalankan pada 10 Julai melibatkan kesemua petugas. Susulan langkah ini, setakat ini, sebanyak 204 petugas telah didapati positif.

"Keputusan RT-PCR telah menunjukkan kesemua yang positif mempunyai CT (cycle threshold) lebih daripada 35, di mana mereka mempunyai 'load' virus yang rendah," katanya.

Justeru, beliau menyarankan penerima vaksin yang hadir di PPV tersebut pada 9 Julai, daripada jam 4 petang, agar memantau sebarang gejala COVID-19 selama 10 hari.

Mereka yang hadir pada 10, 11 dan 12 Julai juga disarankan memantau gejala dan melakukan kawalan kendiri selama 10 hari. 


"Kami juga memaklumkan kepada mereka yang mempunyai janji temu hari ini mengenai penutupan ini melalui makluman sistem pesanan ringkas (SMS) dan media sosial.

"Kesemua mereka sudah pun mendapat tarikh janji temu baharu.

"Kami juga mengarahkan petugas CITF untuk pergi ke IDCC hari ini bagi membantu mereka yang tidak menyedari akan penutupan ini agar mereka hadir pada tarikh baharu yang telah diberi," kata Khairy.

Terdahulu hari ini, Badan Bertindak Imunisasi COVID-19 (CITF) mengumumkan PPV IDCC Shah Alam ditutup hari ini susulan terdapat kes positif COVID-19 yang dikesan dalam kalangan petugas PPV berkenaan.

Katanya, penutupan selama sehari itu diambil bagi membolehkan kerja-kerja sanitasi dijalankan, selepas memperoleh hasil keputusan ujian COVID-19 malam tadi. 

Menurut Khairy, PPV IDCC ditutup hari ini dan dibuka semula esok selepas beberapa perkara dilakukan, termasuk kerja-kerja sanitasi oleh pihak bomba dan pemantauan kualiti pengudaraan bangunan.

“CITF telah dan akan terus meningkatkan semua usaha untuk memastikan PPV IDCC adalah selamat bagi menerima kehadiran orang ramai untuk suntikan vaksin pada hari-hari seterusnya.

“Oleh itu, saya ingin menyeru orang ramai untuk hadir ke janji temu mereka di PPV IDCC seperti biasa selepas ini, di samping mematuhi SOP dan penjarakan fizikal sepanjang masa.

“Datanglah mengikut masa yang diberikan dan tidak terlalu awal serta pastikan terus pulang selepas selesai urusan vaksinasi bagi meminimumkan masa pendedahan di kawasan umum,” katanya.

Tambahnya, beliau juga telah mengarahkan semua petugas IDCC sebelum ini diasingkan dan ditukar dengan pasukan petugas baharu sebagai langkah berjaga-jaga agar potensi jangkitan dapat dikurangkan.

BACA: PPV IDCC Shah Alam ditutup hari ini

“Selain daripada langkah yang diambil di PPV IDCC itu sendiri, saya juga mengarahkan PPV lain untuk terus mematuhi SOP yang telah ditetapkan tanpa sebarang kompromi.

“Kami sedang mempertimbangkan langkah yang lebih tegas di semua PPV lain dan ini akan diumumkan dari semasa ke semasa," katanya.

Khairy berkata, ketika mempengerusikan Mesyuarat CITF terdahulu hari ini, beliau juga telah meminta semua PPV lain agar memaklumkan pihaknya sekiranya mengalami sebarang masalah.

"Sekiranya mengalami masalah, terutamanya mengenai kesesakan, serta merta maklumkan kepada CITF Pusat agar kami dapat membantu dengan segera," tambahnya. 

Tegasnya, berikutan angka kes jangkitan COVID-19 yang tinggi di Lembah Klang, sukar untuk memastikan sama ada jangkitan itu berlaku di IDCC atau di tempat lain.