Jika sebelum ini Astro AWANI menampilkan senarai personaliti media sosial paling berpengaruh dan aplikasi pilihan 2013, kali ini kami menampilkan apa yang trending sama ada ia adalah video di YouTube atau hashtag di Twitter.

Menurut YouTube, 'What does the Fox say?' merupakan video yang trending sepanjang tahun 2013. Video gaya Gwiyomi / Kiyomi juga antara video paling popular di Malaysia sehingga terdapat beberapa video parodi. Dan siapa tidak boleh lupa dengan dialog "Macam cantik je! Macam comel je!"

Di Twitter pula, isu-isu semasa sering mendapat perhatian. Dari #PRU13, ke #MYHaze dan yang terbaru situasi banjir di beberapa negeri, ia sering menjadi trending kerana pengguna inginkan maklumat terkini.

Berikut adalah beberapa video dan hashtag yang menjadi trending di Timeline Malaysia.

What does the Fox Say

Video 'What does the Fox day?' mengungguli senarai video yang paling ditonton di YouTube. Dengan hampr 308 juta views (dan kian meningkat), ia bukan sahaja video yang paling ditonton di dunia, tetapi ia juga video yang paling trending di kalangan penonton YouTube Malaysia. Lagu ‘What does the Fox say’ dinyayikan oleh kumpulan Ylvis yang berasal dari Norway. Ia dianggotai oleh Bard dan Vegard yang merupakan pasangan adik beradik. Pada bulan Disember, mereka meneribitkan buku kanak-kanak dengan judul yang sama.


Listen! Listen! Listen!

Video ‘Listen! Listen! Listen!’ mula mendapat perhatian pada awal Januari. Video itu menampilkan Presiden Suara Wanita 1Malaysia (SW1M) Sharifah Zohra Jabeen yang menunjukkan dia menempelak pelajar KS Bawani dalam satu forum di UUM.

Sharifah kemudian dikecam oleh banyak pihak dan mencetuskan pelbagai reaksi.


Mat Luthfi ada memuat naik video parodi berjudul ‘Parodi Forum Suara Mahasiswa’ yang kini mempunyai 1.4 juta views. Video ini juga tersenarai dalam senarai 10 video yang trending di kalangan penonton YouTube Malaysia.



KL Gangster 2

Trailer ‘KL Gangster 2: Prequel Official Trailer 2013’ mempunyai 1.9 juta views di YouTube dan menduduki tangga ke-3 dalam senarai video yang trending di YouTube Malaysia. Pada bulan Ogos, filem berkenaan dikatakan bocor di internet sebelum ia ditayangkan di pawagam. Pada bulan September, polis menyerahkan kes mensabotaj filem KL Gangster 2, yang dimuat naik di laman video perkongsian YouTube sebelum tarikh penayangan, kepada Suruhanjaya Komunikasi Multimedia (SKMM) dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) untuk siasatan.


Gwiyomi

Gwiyomi / Kiyomi menjadi satu fenomena setalah ‘demam’ Gangnam Style dan Harlem Shake. Ia bermula sebagai lagu yang dinyanyikan oleh penyanyi Korea Selatan Hari namun aksi comel beliau menjadi ikutan gadis-gadis Asia. Tiga video bertemakan Gwiyomi / Kiyomi menjadi trending di YouTube Malaysia.




Macam cantik je!

Video berdurasi hanya 37 saat menjadi trending dengan aksi wanita yang dikenali sebagai Syasya yang bercakap “Macam cantik je! Macam comel je!”. Dengan 1.3 juta views, video ini bukan dimuatnaik di YouTube oleh Syasya kerana video asal adalah dari Keek. Video itu juga ada menerima respon yang negatif namun Syasya sekali lagi tampil menerusi Keek dan berkata video yang dimuatnaik terdahulu adalah gurauan sahaja.


Blackberry10

Tahun 2013 sepatutnya menjadi tahun 'comeback' buat BlackBerry. Pada awal tahun ini, #BlackBerry10 menjadi trending di Malaysia pada bulan Januari selepas pengumuman penjenamaan semula Research in Motion kepada BlackBerry dan pelancaran telefon pintar Z10 dan Q10. Ia juga seperti satu ‘comeback’ buat BlackBerry setelah mendapat saingan sengit dari Apple dan Samsung.

Namun pada bulan November, saham BlackBerry jatuh 16%. Blackberry mengabaikan proses penjualan saham syarikat kepada Fairfax Financial Holdings, sekaligus mengumumkan pengganti Ketua Pegawai Eksekutifnya Thorsten Heins yang akan meletak jawatan. Fairfax, pemegang saham terbesar Blackberry dengan penguasaan 10% menyatakan tidak akan membeli syarikat telefon pintar itu atau memiliknya secara keseluruhan.

#MalaysiaMemilih

Hashtag seperti #Bubar, #PRU13 dan #MalaysiaMemilih mula mendapat perhatian kerana pada awal tahun ini, rakyat Malaysia masih berteka-teki tentang Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13). Ia terus menjadi trending apabila Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan pembubaran Parlimen pada April.

Astro AWANI memberi liputan menyeluruh melalui televisyen, laman media sosial dan laman web yang mengangkat tema Malaysia Memilih (hashtag #MalaysiaMemilih).


#ShilaAmzah

Shila Amzah mengejutkan dunia hiburan dengan video yang dimuatnaik oleh beliau sebagai memohon maaf berkaitan kemelut di antara ayahnya ND Lala dan bekas teman lelaki beliau Sharnaaz Ahmad. Beliau kemudian menyanyi lagu ‘Ombak Rindu’ sambil menitiskan air mata.

Hashtag #Shilalas kembali hangat pada bulan November berikutan berita cinta di antara pelakon Johan As’ari dan Lana Nordin. Terdahulu pada bulan September, Shila nafi ada hubungan istimewa dengan Johan.



#MyHaze

Angka indeks pecemaran udara (IPU) yang membimbangkan terutama sekali di Johor dan Melaka mendapat perhatian warga Twitter pada bulan Jun. Warga Twitter bersuara dan kongsi gambar situasi jerebu di lokasi masing-masing menerusi hashtag #MYhaze.




@cheminahsayang

Susulan bencana banjir yang melanda beberapa negeri termasuk Pahang, Johor, Terengganu dan Kelantan pada bulan Disember, Tengku Puan Pahang Tengku Azizah Aminah Maimunah Sultan Iskandar berkenan mencemar duli bukan sekadar melawat ke pusat pemindahan mangsa banjir di Sekolah Jenis Kebangsaan Chung Ching Kuantan tengahari tadi. Tengku Azizah turut mempunyai akaun Twitter dan Instagram untuk memberi maklumat terkini. Ia mendapat sambutan positif dari pengguna media sosial tempatan.