Keadaan tersebut turut menyebabkan 15 guru dari Sekolah Kebangsaan (SK) Binanon dan SK Mamagun terperangkap dan tidak dapat keluar dari kawasan berkenaan.
Seorang guru yang mewakili penduduk, Aronniegary Anak Enak @ Patrick Gari berkata, hujan berterusan pada malam kejadian menyebabkan banjir besar di Sungai Kampung Binanon, sekali gus mengakibatkan runtuhan jalan dan jambatan terputus.
"Pada awal pagi, kami mendapat maklumat mengenai keadaan jalan, tetapi talian internet yang lemah menyukarkan kami mengetahui perkembangan semasa.
"Ketika guru-guru bersiap untuk keluar dari sekolah sekitar jam 12.05 tengah hari, barulah kami menerima gambar dan video yang menunjukkan banyak runtuhan serta jambatan yang putus.
"Demi keselamatan, kami mengambil keputusan untuk kekal di sekolah, manakala penduduk juga tidak keluar dari kampung sejak kejadian itu," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Ahad.
Aronniegary berkata, selepas beberapa hari, bekalan makanan penduduk semakin susut, memaksa mereka mencari inisiatif untuk mendapatkan bantuan dari luar.
"Kami berharap ada pihak yang sudi menghulurkan bantuan terutama bekalan makanan yang kini berada di tahap kritikal," rayunya.
Aronniegary turut memaklumkan bahawa Kampung Binanon terletak 114 kilometer dari Pekan Keningau dan hanya boleh diakses melalui jalan tanah merah, yang mengambil masa lebih empat jam perjalanan terutama dalam keadaan hujan.
Sementara itu, Menteri Kerja Raya Sabah, Datuk Ir Shahelmey Yahya berkata, pihaknya bersedia menangani bencana tersebut dengan mengaktifkan sistem amaran awal dan pelan pengurusan trafik bagi mengurangkan kesan terhadap penduduk.
"Di setiap daerah, JKR mempunyai pasukan pemantau yang akan menilai keadaan tanah runtuh atau jalan yang terjejas akibat banjir dan sebagainya.
"Sekiranya insiden berlaku, pihak daerah akan mengaktifkan respons kecemasan serta melaksanakan pelan pengurusan trafik bagi memastikan jalan raya dapat dilalui dalam tempoh terdekat dan tidak terputus sepenuhnya," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan dalam program Jom Shopping Raya di sini, pada Ahad. - Sinar Harian
