KOTA BHARU:Dua pegawai Jabatan Imigresen dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini pada Isnin atas pertuduhan menerima suapan keseluruhan berjumlah RM154,340 yang dilakukan sejak April 2018 sehingga November 2019.

Mohamad Hariss Rosli, 27, yang didakwa dengan 31 pertuduhan menerima rasuah mengaku bersalah atas 18 pertuduhan dan mengaku tidak bersalah atas 13 lagi pertuduhan dan mohon dibicarakan.

Tertuduh kedua, Fasmawi Ab Wahab, 24, pula mengaku bersalah atas dua pertuduhan terhadapnya.

Mengikut pertuduhan, Mohamad Hariss yang bertugas di Jabatan Imigresen Johor didakwa memperoleh wang daripada beberapa individu yang mempunyai hubungan kerja rasmi melalui akaun Maybank Islamic yang beralamat di Kota Bharu yang keseluruhan berjumlah RM152,940, sejak April 2018 sehingga November 2019.

Bagi setiap pertuduhan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Fasmawi yang turut bertugas di Jabatan Imigresen Johor menghadapi dua pertuduhan iaitu, pada 26 Februari 2019 hingga 1 Mac 2019 didakwa memperoleh wang daripada seorang individu yang mempunyai hubungan kerja rasmi melalui akaun Maybank Islamic Berhad yang beralamat di Jalan Hulu Pasar, Tumpat, membabitkan jumlah RM1,400.

Beliau juga didakwa mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan boleh dipenjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Hakim Zaman Mohd Nor tidak membenarkan kedua-dua tertuduh diikat jamin dan menetapkan 22 Disember depan sebagai tarikh menjatuhkan hukuman dan serahan fakta kes.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Norhamizah Ghazali manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam.