Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan Barisan Nasional (BNBBC) Tan Sri Shahrir Samad mempertahankan tindakannya mengadakan pertemuan dengan Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif 1Malaysia Development Bhd (1MDB) Arul Kanda Kandasamy, yang diadakan pada Rabu lalu.

Menurut beliau, pertemuan yang diadakan di sebuah hotel di Kuala Lumpur itu adalah bertujuan untuk mendapatkan gambaran lebih jelas mengenai 1MDB.

Ahli Parlimen Johor Bahru itu berkata perjumpaannya dengan Arul itu adalah atas jemputan daripada
Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Abdul Rahman Dahlan.

Beliau berkata, pertemuan itu adalah untuk mengetahui keadaan semasa dan masa depan perancangan daripada Arul sendiri mengenai 1MDB, terutama mengenai strategi syarikat pelaburan itu dalam usaha mengurangkan hutangnya, lapor The Star.

"Apa salahnya untuk saya bertemu dengan Arul? Saya hanya mahu mengetahui perancangan syarikat itu dan saya juga sekadar memberi beberapa cadangan bagaimana syarikat itu dapat mengurangkan hutang," kata Shahrir dalam laporan yang sama.

BACA : Siasatan PAC akan lebih agresif jika Arul Kanda, Shahrol menipu - Nur Jazlan

BACA : Tun Mahathir perjelas 'kekeliruan' tentang 1MDB

BACA : Dakwaan 1MDB rugi RM42 bilion diputar belit, kata Najib

Pada Jumaat portal BNBBC melaporkan pertemuan hampir tiga jam Shahrir bersama Arul itu tidak menyentuh soal penyiasatan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) terhadap 1MDB.

“Saya menghormati kedudukan PAC sebagai sebuah jawatan kuasa tetap Parlimen. PAC telah pun menerima permintaan Arul Kanda untuk ditangguhkan kehadirannya kepada suatu tarikh baru menggantikan pertemuan yang sepatutnya diadakan Selasa lalu,” katanya.

Menurut Shahrir, sebagai Pengerusi BNBCC, beliau telah mencadangkan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak untuk PAC dan Ketua Audit Negara menyiasat segala urusan dalam 1MDB untuk memberi gambaran lebih jelas kepada orang ramai mengenainya.

BACA : 1MDB: Pemuda UMNO mahu pihak berkuasa, polis siasat laporan Sarawak Report

BACA : Biarkan Ketua Audit Negara siasat 1MDB terlebih dahulu - Najib

PAC pada 25 Mei menyatakan pihak mereka akan mengambil keterangan dari tiga buah syarikat yang membuat pengauditan ke atas akaun syarikat 1MDB.

Menurut Pengerusinya, Datuk Nur Jazlan Mohamed, syarikat Deloitte, KPMG dan Earnst & Young bakal dipanggil untuk memberi keterangan dalam prosiding siasatan terhadap 1MDB.

Nur Jazlan turut mengesahkan penangguhan prosiding yang melibatkan CEO 1MDB, Arul Kanda Kandasamy dan juga Bekas CEO 1MDB, Datuk Shahrul Ibrahim Halmi.

Beliau berkata PAC akan menghantar semula surat panggilan secara rasmi kepada Kementerian Kewangan selaku Pegawai Pengawal terhadap syarikat 1MDB untuk Arul Kanda dan Shahrul hadir semula di hadapan jawatankuasa itu.

Sebelum ini, Syarikat 1MDB hebat dikritik pelbagai pihak termasuk menimbulkan pelbagai persoalan dalam beberapa aspek pelaburan yang dibuat oleh syarikat pembangunan strategik itu yang dimiliki sepenuhnya oleh kerajaan Malaysia.