Rakyat perlu meletakkan kepercayaan penuh kepada Pasukan Petugas Khas yang dipertanggungjawab menjalankan siasatan terhadap dakwaan penyaluran dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) ke akaun perdana menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Pulau Pinang, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican percaya hasil siasatan yang diperoleh kelak lebih bersifat adil dan telus melalui kolaborasi empat agensi yang menganggotai pasukan khas tersebut.

"Kolaborasi ini menjadikan bentuk siasatan dilaksanakan secara profesional dan telus oleh sebab maklumat bukan datang daripada satu pihak, tetapi empat.

Justeru, menurutnya, adalah tidak adil jika masih ada pihak yang cuba mempertikaikan kewibawaan Bank Negara Malaysia (BNM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam mengendalikan tugas dan fungsi mereka dalam siasatan ini.

"Penggemblengan ini akan memberi keputusan yang jauh lebih berwibawa kalau ia dilaksanakan. Hari ini keempat-empat agensi ini bergabung.

"Sewajarnyalah kita letak kepercayaan penuh kerana pada siapa lagi kita mahu letakkan kepercayaan," kata Reezal Merican.


Tambah Reezal Merican, rakyat perlu memberi ruang kepada Pasukan Petugas Khas menjalankan siasatan berhubung isu 1MDB dengan tenang dan menantikan keputusan yang diumumkan kelak dengan sabar.

"Saya fikir hasil siasatan ini amat penting bagi menjernih dan membersihkan imej kerajaan. Dan dakwaan ini tiada asas yang kuat melainkan setelah dibuktikan.

"Siasatan ini akan beri penumpuan sama ada dakwaan ini tidak berasas atau mempunyai pembuktian yang kuat.

"Jadi kita beri kepercayaan kepada task force kerana kewibawaan mereka tidak diragui dan yang penting bersifat adil untuk semua pihak terutamanya kepada negara," katanya lagi.

Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan yang dikeluarkan Pasukan Petugas Khas yang menegaskan penyiasatan dilakukan secara telus dan kewibawaan siasatan tidak perlu dipertikaikan.

Terdahulu, Reezal Merican menyampaikan bantuan kepada anak yatim Parlimen Kepala Batas, Pulau Pinang pada Program Kasih Ramadan Ceria Aidilfitri di Sekolah Menengah Kebangsaan Dato Kailan di Kepala Batas pada Sabtu.

Sebanyak 600 anak yatim menerima sumbangan bagi meringankan beban menyambut Aidilfitri minggu depan.