Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Salleh Said Keruak menganggap syarikat pelaburan negara 1Malaysia Development Berhad (1MDB) bukan lagi isu yang berbangkit kerana sudah di bawah pemantauan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC).

Beliau berkata demikian sebagai reaksi kepada beberapa kenyataan termasuk daripada pemimpin UMNO yang mahukan isu itu segera ditangani demi menjaga kredibiliti UMNO dan Barisan Nasional.

“Pada saya isu 1MDB ini sepatutnya sudah tidak berbangkit. Kabinet telah mengambil keputusan merujuk perkara tersebut kepada PAC.

“Kita kena terima hakikat bahawa 1MDB adalah sebuah syarikat pelaburan kerajaan. Kerajaan telah menyuntik RM1 juta dan sudah tentulah syarikat ini menjalankan perniagaan.

"Dalam menjalankan perniagaan, sudah tentulah mereka membuat pinjaman,” jelas beliau yang ditemui semasa program berbasikal Kayuhan Sehati Sejiwa anjuran Dewan Bandaraya Kuala Lumpur hari ini.

Salleh mengingatkan, 1MDB juga mempunyai aset-aset yang bernilai dan itu jelas menunjukkan bahawa wang RM42 bilion itu tidak hilang sebaliknya adalah hutang.

Tambahnya, jika ditolak jumlah hutang itu daripada nilai aset keseluruhan bernilai RM51 bilion, masih berbaki RM8 bilion.

BACA: 1MDB: Pengkritik memang tidak pernah berpuas hati - Salleh


“Tidak ada permasalahan sebenarnya dalam 1MDB ini. Kita kena berilah (proses siasatan) pada PAC ini apabila dilantik semula ahli jawatankuasanya untuk meneruskan kerja-kerja penilaian mereka.

“Kalau kita menilai sesebuah syarikat, asas kita menilai adalah pada akaun yang telah diaudit kerana di situ ada aset dan liabiti. Dari situ kita lihat sama ada syarikat itu berdaya maju atau tidak.

“Yang kita mungkin boleh lihat ialah mengapa mereka berhutang sedemikian. Sudah tentulah dalam laporan PAC, kita boleh lihat punca-puncanya,” kata Salleh sambil menambah kerajaan telahpun melaksanakan pelan rasionalisasi 1MDB.

Beliau juga menyelar pihak yang berbicara tanpa fakta yang sebenarnya hanya kerana terpengaruh dengan laporan media tertentu yang kesahihannya boleh dipersoalkan.

BACA: Fokus kerajaan kini untuk pastikan ekonomi negara bertambah baik - Salleh