KKDW dalam kenyataan memaklumkan, Program Pemasangan LJK Semenanjung Malaysia dan Sabah Tahun 2022 Fasa 11 itu menggunakan peruntukan daripada RM150 juta di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12).
"Program Pemasangan LJK Fasa 11 ini telah dilaksanakan pada 30 Mei 2023 dan selesai pada 25 Okt 2024. Projek dapat disiapkan 36 hari lebih awal daripada tempoh tamat kontrak pada 29 Nov 2024 oleh kontraktor yang dilantik," menurut kenyataan itu.
Menurut KKDW, di bawah Fasa 11, sebanyak 12,300 unit LJK dipasang di Semenanjung manakala 1,910 unit lagi di Sabah dan kesemua LJK tersebut adalah lampu jenis light emitting diode (LED) 75 watt yang dipasang pada tiang elektrik sedia ada milik PBEN.
"Sehingga kini, jumlah keseluruhan LJK yang telah dipasang di seluruh kawasan desa seluruh negara adalah sebanyak 525,081 unit.
"Kesemua LJK yang telah siap dipasang akan diserahkan kepada PBEN iaitu Tenaga Nasional Bhd di Semenanjung Malaysia, Sabah Electricity di Sabah dan Sarawak Energy Berhad di Sarawak untuk dioperasi dan diselenggara," menurut kenyataan itu.
KKDW memaklumkan, ia komited untuk memastikan LJK yang telah siap akan sentiasa beroperasi dengan kos operasi dan selenggara akan dibiayai oleh KKDW secara berterusan. - BERNAMA