KOTA KINABALU: Sabah Electricity (SE) memperoleh tawaran pembinaan projek Large-scale Solar Photovoltaic (LSSPV) sebanyak 15 megawatt AC (MWac) daripada Suruhanjaya Tenaga Sabah (ECoS) yang akan membantu meningkatkan margin rizab grid elektrik Sabah.

Ketua Pegawai Eksekutif SE Mohd Yaakob Jaafar menerusi kenyataan di sini hari ini, berkata SE menerima Letter of Notification (LoN) mengenai tawaran itu melalui usaha sama dengan TNB Renewable Sdn Bhd (TRe) pada minggu lepas.

Projek LSSPV itu melibatkan pemasangan 15MWac panel solar di Kampung Langkon, Kota Marudu dan pengoperasian loji LSSPV tersebut akan membantu meningkatkan margin rizab grid Sabah ketika waktu beban puncak pada siang hari.

"Kemenangan ini merupakan pencapaian positif dalam usaha SE dan TRe menyokong inisiatif tenaga boleh diperbaharui seterusnya memberikan sumbangan kepada kelestarian tenaga hijau di Sabah," katanya.

Mohd Yaakob berkata SE dan TRe akan bekerjasama dengan pihak berkepentingan serta pakar tenaga boleh diperbaharui bagi memastikan pelaksanaan projek itu berjaya disiapkan mengikut jadual ditetapkan.

Selain itu, Mohd Yaakob berkata SE juga memberikan komitmen tinggi terhadap teknologi hijau, termasuk membangunkan infrastruktur Sistem Simpanan Tenaga Bateri (BESS) berkapasiti 100 megawatt (MW) di Lahad Datu.

"SE optimis bahawa kedua-dua projek LSSPV dan BESS ini akan menjadi penanda aras dalam inovasi tenaga lestari dan meningkatkan potensi kapasiti penjanaan tenaga boleh diperbaharui," katanya.

-- BERNAMA