KULIM: Empat orang cedera dalam kemalangan melibatkan 13 buah kenderaan termasuk sebuah lori treler di Kilometer 21 Lebuhraya BKE menghala ke Baling, di sini, pada Selasa.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kulim, Penolong Penguasa Bomba Hamizul Azwan Hamdan berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kemalangan itu pada jam 7.37 pagi.



Difahamkan, treler terbabit dipercayai merempuh 12 kenderaan di lokasi kejadian sehingga mengakibatkan kesesakan.

"Setibanya di lokasi, didapati berlaku kemalangan membabitkan 13 kenderaan dan empat mangsa termasuk seorang wanita berjaya diselamatkan oleh orang awam sebelum pihak Bomba tiba.

"Kesemua mereka dihantar ke Hospital Kulim dengan menaiki ambulans untuk mendapatkan rawatan lanjut," katanya dalam satu kenyataan hari ini.