TAIPING: Seramai 12 lelaki ditahan dan 57 buah motosikal disita dalam operasi bersepadu samseng jalanan di Jalan Ipoh-Butterworth, dekat batu 5, Changkat Jering di sini pada awal pagi Ahad.

Menurut Ketua Polis Daerah Taiping, ACP Mohamad Nasir Ismail, menerusi tangkapan itu, dua daripada mereka, masing-masing berusia 17 dan 20 tahun didapati positif dadah jenis amphetamine dan methamphetamine.

Katanya, operasi tersebut dijalankan oleh Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Taiping dibantu Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik.

"Operasi bermula jam 3.30 hingga 6 pagi. Sepanjang operasi itu sebanyak 115 motosikal dan seramai 123 individu berusia lingkungan 14 hingga 35 tahun diperiksa.

"Sebahagian besar daripada mereka terdiri daripada pelajar sekolah menengah, pelajar institusi awam serta pekerja swasta.

"Selain itu, sebanyak 208 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan jalan raya, 57 motosikal telah disita di bawah Seksyen 64(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

"Seramai 12 individu ditangkap di bawah Seksyen 42(1) APJ 1987 kerana menunggang motosikal secara melulu dan membahayakan," katanya dalam kenyataan media malam tadi.

Mohamad Nasir menambah, dua individu yang ditahan kerana positif dadah pula akan disiasat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

"IPD Taiping ada menjalankan operasi sebegini sebelum ini, namun ini merupakan yang julung-julung kali secara besar-besaran hasilnya.

"Ia bukan sahaja bagi membanteras samseng jalanan tetapi sebagai usaha mengurangkan kes kemalangan jalan raya dan jenayah jalanan," katanya.