GEORGE TOWN: Polis menahan 15 lelaki termasuk seorang kanak-kanak berusia 12 tahun dalam operasi khas samseng jalanan yang dijalankan di Lebuhraya Tun Dr lim Chong Eu, Bayan Lepas dekat sini awal pagi hari ini.

Ketua Polis Daerah Barat Daya Supt Kamarul Rizal Jenal berkata kesemua mereka yang berusia 12 hingga 25 tahun itu ditahan kerana menunggang motosikal dan memandu kereta secara melulu.

"Kesemua mereka ditahan di bawah Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan polis turut menyita 14 motosikal serta sebuah kereta yang digunakan mereka untuk siasatan lanjut.

"Dalam operasi oleh 53 pegawai dan anggota polis termasuk dari Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Bukit Aman itu, pihak kami turut mengeluarkan 159 saman kerana pelbagai kesalahan lalu lintas," katanya ketika dihubungi Bernama malam ini.

Beliau berkata operasi mencegah mat rempit dan samseng jalanan itu akan dijalankan dari semasa ke semasa terutama pada hujung minggu bagi membanteras kegiatan tersebut.

-- BERNAMA