Ringkasan AI
- 121 penunggang motosikal disaman dan terpaksa menolak kenderaan mereka ke Balai Polis Senawang selepas ditahan dalam Op Samseng Jalanan di Jalan Persiaran Senawang 1.
- Operasi dilakukan oleh BSPT IPD Seremban bermula jam 11 malam hasil maklumat risikan dan aduan awam.
- 175 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan termasuk tiada lesen memandu, nombor pendaftaran tidak ikut spesifikasi, dan ubah suai ekzos, serta empat motosikal disita.
Operasi bermula jam 11 malam itu dijalankan oleh Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis (IPD) Seremban dengan kerjasama Bahagian Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (BPJKK) dan Balai Polis Senawang.
Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Mohamad Hatta Che Din berkata, operasi berkenaan dijalankan hasil maklumat risikan dan aduan awam.
"Hasil operasi, 121 motosikal dan tiga kenderaan telah diperiksa serta ditahan.
"Daripada jumlah itu, empat lelaki berusia antara 16 hingga 20 tahun telah ditangkap atas kesalahan menggunakan nombor pendaftaran palsu dan menunggang secara melulu dan berbahaya," katanya dalam kenyataan pada Ahad.
Menurutnya, kes disiasat di bawah Seksyen 42(1) dan 108(3)(e) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan Seksyen 29(1) Akta Kesalahan Kecil 1955.
Ujarnya, sebanyak 175 saman telah dikeluarkan atas pelbagai kesalahan seperti tiada lesen memandu, nombor pendaftaran tidak ikut spesifikasi dan kesalahan melibatkan ubah suai ekzos.
"Empat buah motosikal dikenakan tindakan sita. Semua pengguna jalan raya dinasihatkan untuk mematuhi peraturan sedia ada bagi menjamin keselamatan semua pihak.
"Pihak polis akan sentiasa memastikan ketenteraman awam dijaga dan tindakan tegas akan diambil kepada pesalah-pesalah yang melanggar undang-undang," katanya. - Sinar Harian