Artikel editor Astro AWANI, Zan Azlee yang mengaitkan Yuna dan agen mengikis sentimen Islamofobia menarik perhatian stesyen berita antarabangsa Aljazeera.

Zan diundang menjadi tetamu menerusi Google Hangout dalam program The Stream yang bersiaran secara langsung pada pukul 3 pagi waktu Malaysia pada Selasa.

Pemilihan Zan dibuat susulan artikel kritikal beliau yang mengaitkan imej Yuna yang eksotik dan agen pemulih Islamofobia di Amerika Syarikat.

Dalam artikel yang mula disiarkan pada 9 Januari lalu di laman web Astro AWANI, Zan menyatakan kemunculan Yuna kena pada masanya sebagai ikon yang boleh memulihkan pandangan serong masyarakat Amerika ke atas dunia Islam.

Zan berpendapat, Amerika kini gigih memulihkan imej Islamophobianya dengan melakukan pelbagai dialog antara agama serta mula menggaji lebih ramai angota polis dan bomba beragama Islam.

Maka, beliau berpendapat, tidak hairan bagi Yuna untuk mendapat perhatian di Amerika Syarikat tambahan imej Yuna yang bukan tradisional malah bertudung amat menarik bagi mereka.

Zan Azlee bertanya sendiri kepada Yuna, adakah Yuna merasakan menjadi tanggungjawabnya untuk memberi pemahaman kepada masyarakat antarabangsa tentang budaya dan membawa masyarakat bersatu tanpa mengira kaum dan agama.

Yuna dalam jawapannya mengesahkan bahawa dia ada merasakan tempias tanggungjawab tersebut dan ia adalah pakej kepada dirinya yang menjadi perhatian umum namun dia telah bersedia dengan muzik yang dibawanya.

Yuna menjadi tetamu di dalam program tersebut yang membincangkan mengenai kerjaya, populariti dan agama Islam Yuna. Program tersebut turut melibatkan lima tetamu lain secara atas talian ketika siaran langsung.


(Video ihsan: YouTube Al Jazeera)