"PERNAHKAH kau bermimpi seketika untuk melihat tanah air tumpah darah kini ini mencecah usia 60 tahun?"

Sebagai anak seni yang bermula dari bawah, saya mahu nikmat kemerdekaan dan kebebasan itu turut dinikmati oleh golongan seni budaya yang mana elemen seni dan budaya tempatan bukan sahaja berkemampuan untuk menyatukan bangsa malah memperkukuhkan jati diri masyarakatnya.

Dititipkan satu persoalan yang bermain di sekitar dunia seni tempatan, industri seni budaya yang bagaimanakah mahu dilihat oleh kita semua, dan sepatutnya dinikmati oleh rakyat negara ini bertepatan dengan usianya yang bakal mencecah 60 tahun.

Melihat dunia seni tempatan yang seakan-akan dipinggirkan walaupun secara zahirnya kita dapat melihat pembangunan negara berlaku dengan sangat pesat di sekeliling kita.

Sayangnya, pembangunan yang kita lihat hanya menjurus kepada pembangunan kebendaan dengan terbinanya bangunan pencakar langit dan pusat membeli-belah yang sudah tidak terkira banyaknya.

Bagaimana pula dengan pembangunan yang khusus kepada penyediaan prasarana paling utama untuk golongan seni dan karyawan tempatan?

Ramai yang kurang berpengetahuan atau menyedari kewujudan dua lokasi eksklusif seperti Istana Budaya dan Dewan Filharmonik Petronas adalah ruang tersendiri yang hanya tertumpu untuk persembahan teater dan muzik klasik.

DFP

Kedua-duanya dibina bersandarkan spesifikasi untuk dua bidang seni tersebut.

Anak seni tempatan terus mengimpikan prasarana khusus untuk mereka terus berkarya, mengadakan persembahan dan pelbagai aktiviti latihan dan pengasahan bakat baru di lokasi yang bersesuaian agar minat masyarakat terhadap seni dan budaya terus disemai dan disuburkan dari generasi ke generasi yang akan datang.

Tanpa penyediaan prasarana yang khusus, golongan seni dan karyawan masih tercari-cari lokasi bersesuaian untuk membuat persembahan konsert mahu pun acara-acara seni yang pada akhirnya hanya akan tertumpu ke dewan konvensyen sedia ada, stadium-stadium baik yang terbuka mahu pun yang tertutup atau mungkin ke padang luas yang sepatutnya dimanfaatkan untuk acara sukan.

Menampung penonton

Sehingga ke hari ini, negara kita masih belum ada sebuah dewan atau tempat khas yang boleh menampung sehingga 10,000 penonton pada satu masa. Dewan yang ada biasanya tidak dapat menampung jumlah penonton terutamanya untuk acara berskala besar.

Sebagai alternatif, pihak penganjur akhirnya akur untuk memilih stadium tertutup sebagai lokasi konsert dan ini akan membuatkan mereka terpaksa menanggung kos yang lebih besar untuk menyewa, membina dan memasang lebih banyak keperluan produksi, audio visual sekali gus menjadikan kos produksi semakin bertambah.

Salah satu tempat yang menarik perhatian saya sejak dahulu adalah Pasar Seni. Bangunan bersejarah itu yang pada asalnya sebuah pasar basah di Kuala Lumpur kini telah berubah wajah dan ia harus dihidupkan dengan pelbagai aktiviti seni dan tidak sepatutnya hanya tertumpu kepada satu golongan kreatif sahaja dan aktiviti jual beli yang melibatkan pelancongan.

Pasar Seni

Kerjasama berterusan antara wakil kerajaan, kementerian dan pihak swasta perlu dirancakkan untuk menjana pelbagai idea-idea agar aktiviti seni dapat berlangsung dengan lebih terancang bagi menarik dan mengetengahkan bukan sahaja penyanyi, malah pelukis, penyair, penulis, pemuzik jalanan dan ramai lagi.

Tayangan filem juga boleh diadakan di sini dalam suasana santai mengembalikan khazanah wayang pacak yang terkenal menjadi tumpuan masyarakat terdahulu.

Rangka tindakan

Sekiranya golongan yang berkewajipan dapat merancang dan menyediakan rangka tindakan yang menarik, saya pasti Pasar Seni akan terus menjadi tumpuan pelancong dan menjadi destinasi wajib untuk mereka kunjungi bukan hanya untuk membeli cenderamata tetapi turut berpeluang untuk mengenal dan mendekati budaya kita yang tidak kurang hebatnya di mata dunia.

Elemen utamanya ia perlu dirancang secara berterusan sepanjang tahun.

Di New York, mereka ada Broadway dan di London bergelar West End bagi menyaksikan persembahan teater dan muzikal yang cukup popular setiap hari sepanjang tahun tanpa henti.

Kalau mahu mengenal siapa Walt Disney, francais Disneyland tidak hanya tertumpu di kota filem dunia, Los Angeles sahaja malah jenama itu turut dipasarkan di serata dunia seperti Hong Kong dan Paris.

Walt Disney

Apabila menyebut soal dana, wang, insentif, tajaan atau apa sahaja terma yang mengaitkan soal duit terus menjadi halangan utama kepada golongan seni dan karyawan tempatan.

Saya tidak bercakap mewakili golongan seni tertentu sahaja malah semua cabang seni budaya terkena tempiasnya. Semua elemen seni di negara ini wajar mendapat peluang sama rata tanpa mengira usul asal, beza budaya, beza agama sekalipun.

Penggerak industri seni dan budaya dalam masyarakat juga adalah penyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara. Pada tahun 2015, industri kreatif yang meliputi seni dan budaya turut menyumbang kira-kira RM33 bilion kepada KDNK negara.

Ini bermakna golongan seni turut berperanan menjana pendapatan kepada negara dan mereka tidak harus dipinggirkan.

Benar, mungkin sudah wujudnya pelbagai dana yang telah disediakan oleh kerajaan melalui badan-badan dan agensi-agensi di bawahnya sebagai insentif bagi pembangunan seni negara, namun adakah maklumat berkenaannya disampaikan dengan cara yang bagaimana agar semua pihak mengetahui akan kewujudannya.

Dana dan insentif

Penyebaran maklumat mengenai dana dan pelbagai insentif yang disediakan itu amat penting kerana golongan kreatif dalam pelbagai cabang seni pasti mahu mendapat manfaat daripadanya.

Saya mengambil contoh kemudahan geran yang disediakan oleh Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) kepada penerbit yang mahu menghasilkan filem kenegaraan yang saya sifatkan sebagai sesuatu yang sangat baik kerana terdapatnya agensi kerajaan yang boleh membantu bagi menghasilkan lebih banyak filem seumpamanya.

Bagi golongan penyanyi atau pemuzik pula, saya kira perlu juga cara mendapatkan geran mahupun dana untuk menjayakan persembahan, konsert atau festival. Ini termasuk majlis anugerah dan sebagainya. Sebagaimana yang kita maklum, isu sukarnya mendapatkan penajaan bagi mengadakan konsert atau majlis anugerah sentiasa dibangkitkan setiap tahun.

Anugerah Industri Muzik sebagai satu acara anugerah yang berprestij di negara kita juga turut terkena tempiasnya apabila terpaksa menangguhkan penganjurannya selama dua tahun sebelum ini. Ini ekoran tiada penajaan untuk mengadakannya.

Saya juga tertarik untuk berkongsi idea, jika ada inisiatif dari pihak syarikat rakaman atau artis yang mahu menerbitkan album yang mengenengahkan seni dan budaya tradisional atau muzik Melayu kita, mungkin agensi kerajaan dapat bekerjasama dengan syarikat swasta.

Ini penting supaya lagu-lagu kesenian rakyat sama ada dalam bentuk lagu atau muzik instrumental dari alatan muzik tradisional dapat dirakam dan menjadi khazanah negara.

Isu hak cipta

Dewasa ini, sudah ramai golongan seni yang tahu mengenai kesedaran mengenai pentingnya pemeliharaan hak cipta. Soal harta intelek ini bukan sesuatu perkara yang boleh dipandang remeh kerana jika perkara ini diambil mudah, karya tempatan akan hilang begitu saja dan pulangan yang sepatutnya tidak akan dapat kepada yang berhak.

Pada hari ini, kerajaan telah memberi pengiktirafan kepada tiga badan yang bertanggungjawab soal kutipan royalti iaitu Badan Perlindungan Hakcipta Karyawan Muzik Malaysia (MACP), Public Performance Malaysia Sdn.Bhd. (PPM) dan Recording Performers Malaysia Berhad (RPM).

Setiap hak cipta dilindungi apabila kerajaan memberikan lesen kutipan royalti kepada tiga badan berkenaan.

Saya juga ingin menyeru lebih ramai artis, karyawan dan pendatang baru supaya peka dengan peranan setiap badan ini dan mengetahui badan mana yang boleh melindungi hak cipta atau kerja seni masing-masing.

Saya ingin menyarankan agar pihak kerajaan atau badan yang bertanggungjawab akan membuat penyelarasan bagi semua pihak untuk memastikan hak cipta ini terpelihara, contohnya penggunaan lagu-lagu di setiap pusat karaoke harus didaftarkan, kompleks membeli belah, lapangan terbang, premis awam dan sebagainya.

Setiap lagu yang dimainkan mempunyai nilai kepada golongan seni yang berkarya dan inilah punca rezeki mereka.

Ada juga penganjur yang tidak mendaftarkan lagu yang dipersembahkan kepada pihak MACP dan ini tentu sekali akan mengurangkan pendapatan karyawan yang menjadi ahli bagi setiap badan kutipan royalti yang disebut tadi.

Bahana cetak rompak

Selain itu, saya ingin mengutarakan mengenai masalah cetak rompak. Mungkin isu cetak rompak album dan juga memuatnaik lagu secara haram sudah selalu diperkatakan tetapi perkara ini adalah barah utama di dalam industri seni hari ini. Kita masih tidak dapat membendungnya sehingga ke hari ini, di manakah salah dan kurangnya?

Negara kita ada Akta Hak Cipta, namun isu ini masih berleluasa. Saya sendiri sedih melihat usaha dan kesungguhan syarikat rakaman begitu juga artis yang menerbitkan album meskipun mereka berhadapan dengan masalah ini sekian lama.

Walaupun masalah ini masih membelenggu dunia seni tempatan, setiap golongan seni tetap enggan mengalah atau mahu mengundurkan diri daripada menghasilkan sesuatu yang berkualiti untuk industri.

Setakat ini hukuman dijatuhkan hanya kepada pengedar dan penjual cetak rompak, mungkin pihak kerajaan boleh meningkatkan kempen dan kesedaran mengenai hal ini dengan meluaskan lagi hukuman termasuk kepada pengilang (tempat mencetak) dan juga pembeli.

Jika tidak ada pengeluaran dan permintaan, perkara ini tidak akan berhasil. Saya mungkin tidak ramai merumuskan berapakah nilai kerugian yang terpaksa ditanggung oleh syarikat rakaman, artis dan semua pemegang hak cipta tetapi kesannya sangat dirasai.

Penjualan album semakin jauh lebih kecil bilangannya pada hari ini, ditambah pula dengan teknologi digital yang boleh memuatnaik lagu secara haram (bukan membeli dari saluran yang sah), industri ini semakin tenat menanti nazak barah tahap empat.

Jika satu waktu dahulu, ramai artis yang menerbitkan album studio penuh yang baharu, namun kini mereka lebih gemar mempertaruhkan lagu single. Syarikat rakaman juga sudah tidak mahu mengeluarkan kos yang besar untuk menerbitkan album.

Hanya dengan kuasa kerajaan sahaja yang dapat memperketatkan lagi penguatkuasaan seperti menghapuskan mesin pencetak (secara haram) dari pengilang yang tidak berdaftar dan sebagainya serta melakukan pemantauan dan siasatan dengan lebih kerap.

Dipandang tinggi

Saya tidak mewakili diri saya seorang dalam pelbagai isu yang diutarakan kerana saya adalah sebahagian dari golongan seni yang ada di negara ini. Saya menghormati setiap sumbangan, peranan dan karya mereka namun dalam masa yang sama, kami juga mempunyai kekangan atau masalah yang tersendiri dalam industri ini.

Setelah berusia 60 tahun mengecap merdeka, saya mahu melihat industri seni dipandang lebih tinggi dan bukannya sekadar penyumbang picisan kepada pertumbuhan ekonomi dan pembangunan masyarakat kerana hari ini membuktikan bahawa seni juga berperanan tersendiri dan jika dikemudi dengan baik, bakal menjadi antara penyumbang terbesar ekonomi negara.

Usia kita mungkin baru mencecah angka 60 tahun. Melihat pembangunan tamadun di seluruh dunia yang berlaku di sekitar kita tidak mustahil usia matang untuk sesebuah negara mencapai ke suatu tahap yang matang mungkin mencecah ratusan tahun.

Di hari mulia kelahiran negara kita ini, izinkan saya untuk mencuri sedikit masa anda untuk sama-sama kita bertafakur sejenak mengenang pengorbanan dan jasa pemimpin terdahulu daripada kita.

Al-Fatihah, semoga Malaysia terus dilimpahi rahmatNya.


* Datuk Siti Nurhaliza Tarudin merupakan penghibur No.1 tanah air dan pernah memenangi pelbagai anugerah muzik tempatan dan antarabangsa.

**Kenyataan dalam artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan sidang pengarang Astro AWANI.