Konsert GenKRU itu dijangka akan dilakukan di Axiata Arena, Bukit Jalil, Kuala Lumpur.
Kata anggota KRU, Datuk Norman Abdul Halim, kali terakhir KRU mengadakan persembahan pada 2018 di Istana Budaya dan sudah tentu dia mengharapkan agar konsert GenKRU bakal meninggalkan seribu kenangan bukan sahaja buat KRU malah untuk peminatnya.
"Kami memang tidak menyangka setelah sekian lama kami menyepi akhirnya kami kembali dan bakal menemui peminat-peminat KRU.
"Sudah pasti konsert selama dua jam itu nanti akan banyak kejutan yang akan kami berikan buat semua peminat yang hadir.
"Termasuklah menari. Ya kami akan menari pada malam itu. Nak tahu dan nak lihat apa kejutan-kejutan jangan lupa dapatkan tiket yang akan mula dijual tidak lama lagi.
"Kalau kami beritahu semua itu bukan kejutan lagi," katanya pada sidang media pengumuman Konsert GenKRU di Dadi Cinema, Pavilion, Kuala Lumpur pada Isnin.
Norman dalam nada bergurau memberitahu, orang ramai akan rugi besar jika tidak menghadiri konsert GenKRU.
"Ini merupakan penampilan sulung kami bertiga setelah sekian lama menyepi.
"Saya yakin penganjuran GenKRU sesuai dengan kembalinya kamu ke dunia hiburan selepas 33 tahun kekal dalam industri ini," ringkas Norman.