SINGLE terbaru penyanyi sedang meningkat naik Ismail Izzani 'Luar Biasa' yang turut menampilkan bekas ahli Sleeq, Alif menjadi antara yang paling trending di YouTube.

Tidak cukup dengan itu, video muzik yang turut mempunyai koreografi tarian freestyle moden mencatatkan hampir 2.5 juta tontonan dan ianya meningkat sejak dimuatnaik pada hari Khamis.

Kali ini, Izzani berani menyerlahkan bakat tarinya yang dipersembahkan secara berkumpulan dalam video muzik single terbarunya itu, sehinggakan ada yang mengatakan video muzik itu setanding dengan video muzik K-Pop dan ada juga yang menggelar Ismail seperti Justin Bieber versi Malaysia.


Lagu tersebut yang berkonsepkan gabungan genre pop dan EDM itu mendapat tempat keempat dalam topik yang trending dan hangat di Youtube serta mendapat reaksi sebanyak hampir 6,000 komen.

Pelbagai reaksi dilontarkan setelah single 'Luar Biasa' dikeluarkan, bahkan artis tempatan seperti Mira Filzah dan Zizan Razak juga turut tidak terlepas untuk memberikan respon daripada lagu itu.

Mira Filzah memberi respon yang positif daripada single terbaru Ismail Izzani. Ismail juga sempat merakamkan ucapan terima kasih melalui 'instastory' dalam akaun Instagram miliknya.

Ismail Izzani juga turut kongsikan 'instastory' dalam akaun Instagram miliknya yang memaparkan Zizan Razak turut memberi respon yang positif atas single terbarunya dengan menghantar mesej peribadi ke Ismail melalui Instagram. Zizan memberi motivasi untuk Ismail terus berkarya dalam industri muzik tempatan sehingga ke peringkat tertinggi.


Setelah single terbaru itu dilancarkan pada 15 Mac, ramai orang berpendapat bahawa lagu tersebut mampu memberi nafas baru dalam industri muzik Malaysia dan mendapat pelbagai respon positif daripada peminat mahupun para artis tempatan.

Baru-baru ini Ismail juga dihujani pertanyaan daripada peminat dan juga pengikutnya di laman sosial mengenai keputusan Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM).

Namun ibunya yang bekas penyanyi terkenal era-80, Datin Suliza Salam memberitahu bahawa anaknya tidak berkesempatan menduduki SPM atas masalah yang tidak dapat dielakkan dan akan menduduki peperiksaan pada masa hadapan, menurut akhbar tempatan.

Tambahnya, Ismail memilih untuk belajar dari rumah (home schooling) sejak pertengahan tahun lalu lantaran kesukarannya membahagikan masa di antara pelajaran dan karier seni.

Sungguhpun begitu, Ismail kini dilihat tidak menoleh ke belakang lagi untuk terus melangkah hadapan dalam industri muzik sejak mengeluarkan singele sulungnya berjudul 'Sabar' pada tahun lepas.

Lagu debut Ismail itu mencatatkan sebanyak 20 juta tontonan sejak dimuatnaik dalam Youtube pada 24 Februari tahun lepas.