FESTIVAL Filem Antarabangsa Tokyo (TIFF) yang berlangsung dari 23 Okt hingga 3 Nov di Roppongi Theatre dan teater yang lain di Tokyo, menjanjikan satu temasya yang hebat dan menarik untuk industri filem dunia.

Ribuan pengeluar filem, peminat, ahli profesional, pelajar, pelakon lelaki dan wanita pelbagai genre, ahli perniagaan dan pembeli kandungan filem, televisyen dan media lain dari seluruh dunia, akan berkumpul di Tokyo untuk festival berprestij itu.

Menurut laman web rasmi http://2017.tiff-jp.net/en/ TIFF 2017, acara itu akan memaparkan pertandingan untuk pelbagai bahagian, dengan mengundang penyertaan dari seluruh dunia.

Tahun ini menandakan edisi ke-30 TIFF, satu-satunya festival filem Jepun yang diiktiraf Persekutuan Persatuan Pengeluar Filem Antarabangsa (FIAPF).

TIFF bermula pada 1985 sebagai festival filem pertama Jepun dan sejak itu ia berkembang menjadi satu daripada festival filem terbesar di Asia.

TIFF mencari filem yang cemerlang dari seluruh dunia dan membawanya ke Tokyo, di mana pengeluar dan peminat filem dapat menikmatinya, bertemu dengan pengeluar filem yang baru muncul, dan mendapat inspirasi, menurut laman web itu.

Selama 10 hari festival itu, filem daripada pelbagai genre akan dipertontonkan.

Sebuah filem daripada bahagian pertandingan, satu tayangan selepas melalui pemilihan yang teliti oleh pengarah yang diiktiraf dan baru muncul, akan diberi anugerah Tokyo Grand Prix.

Pertandingan itu menarik begitu banyak perhatian daripada pengeluar filem dunia.

Tahun lepas, terdapat 1,502 penyertaan daripada 98 negara dan kawasan.

Pemenang ke-24 Grand Prix itu adalah "Untouchable" (Perancis), yang kemudiannya mencatat rekod dunia untuk kehadiran filem berbahasa Perancis dan mendapat 'hit' yang lama di Jepun.

Sejak penubuhannya, TIFF telah didedikasikan untuk penemuan dan memupuk bakat-bakat baharu, dan telah menyumbang kepada kerjaya begitu banyak pengeluar filem antarabangsa.

Pemenang anugerah lepas termasuk pengarah seperti Michael Hazanavicius, di mana filem "The Artist" pada 2011 telah memenangi lima anugerah Academy, dan Alejandro Gonzalez Innaritu, yang memenangi anugerah Academy untuk Pengarah Terbaik selama dua tahun berturut-turut dengan "Birdman" atau ("The Unexpected Virtue of Ignorance") pada 2015 dan "The Revenant" pada 2016.

Koji Fukada, dengan hasil kerjanya juga telah dipaparkan beberapa kali di festival itu, menerima hadiah juri Un Certain Regard pada Festival Filem Cannes 2016 dengan "Harmonium".

Semasa festival itu, peminat filem daripada semua peringkat umur berkumpul di Tokyo untuk menikmati pelbagai acara berwarna-warni TIFF setiap tahun. Ini termasuk seminar, simposium dan bengkel untuk para pelajar, profesional, dan ahli perniagaan.

TIFF juga mengadakan program interaktif bagi menggalakkan perbincangan dan rangkaian perniagaan.

TIFF juga mempunyai perikatan yang kuat dengan pasaran, yang membolehkan festival itu menyediakan satu platform di Tokyo untuk perangkaian dengan wakil industri filem dunia, membangunkan produksi antarabangsa dan mempromosikan perniagaan filem global.

TIFFCOM ke-14 bagi 2017 akan diadakan di Sunshine City, sebuah kompleks pelbagai guna bandar yang mengandungi dewan pameran, hotel, kedai, restoran dan kemudahan hiburan, terletak di Ikebukuro, Tokyo.

Ikebukoro merupakan satu daripada pelbagai pusat bandar raya di Tokyo dengan akses mudah untuk ke semua tempat tarikan utama di tengah-tengah Tokyo.

Ikebukuro (bandaraya Toshima) tidak lama lagi akan dlahirkan semula sebagai hab kebudayaan antarabangsa yang berkembang maju, dengan pembukaan lapan teater pada 2020, di bawah skim pembangunan semula, 'Bandar Raya Kesenian dan Kebudayaan Antarabangsa".

TIFFCOM merupakan pasaran pelbagai kandungan untuk filem, televisyen, animasi, penerbitan dan media lain.

Kira-kira 18,330 peserta menyertai Japan Content Showcase 2016 terdiri daripada 356 pempamer dari 21 negara atau kawasan dengan 1,539 pembeli berdaftar dari 49 negara atau kawasan.

-- BERNAMA