KUALA LUMPUR: Penguatkuasaan terhadap undang-undang cetak rompak perlu dilaksanakan dengan tegas seperti mana tegasnya pihak berkuasa terhadap mereka yang melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan ketika ini.

Itu pendapat yang diluahkan oleh novelis dan penulis skrip, Siti Rosmizah, yang melihat hanya undang-undang ketat mampu membawa perubahan.

"Cetak rompak ini juga macam wabak atau barah yang sudah menular. Sebab itu, satu-satu penyelesaian adalah dengan menguatkuasakan undang-undang dengan lebih ketat dan tegas.

"Biasanya, kes cetak rompak akan dibawa ke mahkamah sivil untuk dapatkan ganti rugi. Tetapi ada masanya, pesalah itu tak ada duit pun nak bayar ganti rugi.

"Ini kerana, cetak rompak bukan hanya dilakukan oleh orang dewasa. Cetak rompak era digital ini, remaja yang belum cukup umur pun ada buat.

"Kita tengok sekarang, langgar SOP kena bayar RM10,000 berbanding hanya RM1,000 sebelum ini. Bila dikuatkuasakan begitu, kita boleh nampak semakin ramai yang ikut SOP dan takut nak buat kesalahan.

"Ketegasan seperti itu yang kita perlukan," katanya ketika ditemubual Astro AWANI, pada Selasa.

BACA: Aspirasi Astro bersama anak seni #StopPiracyLah #NoToLanun

Tambah penulis skrip Rindu Awak Separuh Nyawa itu, isu pendidikan dan penghargaan seni bukan masalah utama kerana aspek itu sudah diterapkan sejak awal.

"Kita sudah dididik dari kecil, jangan ambil hak orang. Isu cetak rompak ini lebih kepada kesedaran akibat kurangnya penguatkuasaan.

"Contoh, nak langgan satu filem kena bayar RM10. Tetapi ada satu platform yang tidak sah, boleh tonton tanpa bayaran. Tentulah mereka akan ambil yang tak perlu dibayar.

"Sekarang ini kena ajar mereka untuk jangan langgar undang-undang dengan cara kuatkuasakan undang-undang dengan tegas," katanya lagi.



** Astro AWANI kini dalam usaha membantu industri seni tanah air membanteras cetak rompak menerusi kempen #NoToLanun. Berikan pandangan anda menggunakan tanda pagar #NoToLanun & #StopPiracyLah jika anda ingin bersama-sama membantu menyelamatkan industri seni tempatan.