Konsert Endemik Search akan menyaksikan Amy bersama Nasir, Hillary Ang, dan Man Kidal menjadi artis pertama membuka tirai konsert di dewan bertaraf dunia itu.
Konsert yang bakal menelan kos lebih RM 1 juta ini juga dianggap kemuncak kerjaya Search yang telah bermula sejak 40 tahun lalu, dan peminat yang hadir akan menyaksikan persembahan terbaik yang pernah disaksikan mereka.
"Semestinya kami mahu tampilkan penanda aras baharu dalam muzik. Keseluruhan konsert mesti menggambarkan, inilah muzik hari ini.
"Sekarang kami sudah matang jadi tentu kami mahukan tunjukkan kematangan itu kepada penonton. Tetapi dalam masa yang sama Search tidak boleh lari daripada nostalgia, lagu-lagu yang menjadi kenangan dan peneman perjalanan hidup peminat, itu juga tidak boleh dilupakan," kata Amy ketika ditemui dalam majlis berbuka puasa bersama Search, pada Selasa.
Selain hits klasik mereka, Search juga akan mempersembahkan sebuah lagu baharu yang belum pernah dipersembahkan secara langsung sebelum ini.
Ditubuhkan pada 1998, Zepp Hall Network Inc memiliki sebelas dewan konsert di seluruh dunia termasuk sembilan di Jepun, satu di Taipei dan terbaharu di Kuala Lumpur.
Dewan konsert bernilai RM100 juta di Bukit Bintang itu mempunyai ruang berkapasiti 2,500 dan dilengkapi dengan pelbagai ciri dewan konsert terbaik.
Konsert Endemik Search akan berlangsung pada 4 Jun depan.