Dari satu sisi, ia bagus untuk industri muzik tanah air dalam suasana kekangan ekonomi yang menyaksikan artis dan syarikat rakaman yang kian bergelut untuk mengeluarkan atau menjual produk mereka.
Tidak seperti di era 80an dan 90an dahulu, dunia kini penuh kecanggihan yang membolehkan peminat mendapatkan produk atau info tentang artis hiburan dengan mudah.
Zaman berubah, era genre muzik tertentu juga berubah, itu hakikat yang perlu diterima oleh semua artis dalam dunia industri.
Sebagai artis yang membawa genre muzik rock berentak heavy metal, era rock kapak adalah zaman kegemilangan kami iaitu era 80an dan 90an yang bertapak di Malaysia.
Kumpulan XPDC misalnya lahir di era lewat 80an dan merakamkan album pertama pada 1990. Waktu itu selaku pemain bass, saya masih ingat bagaimana album pertama “Darjah Satu” itu meletup di pasaran ketika banyak lagi kumpulan rock yang lain mendapat tempat.
Ia seakan rezeki yang di luar jangkaan buat kami ketika itu.
Menerusi lagu C.I.N.T.A kumpulan kami mula meniti di bibir peminat di Malaysia.
Begitu juga dengan kumpulan-kumpulan rock lain yang lebih awal mencipta nama seperti Search, Wings dan lain-lain.
Kemeriahan rock kapak itu berterusan hinggalah ke penghujung 90an.
Peminat ketika itu sangat menghargai muzik rock. Konsert di mana sahaja pasti mereka akan datang memenuhi ruang.
Peminat dahulu lebih menghargai setiap artis kerana mungkin untuk berhibur dan mendapatkan sesuatu bentuk hiburan itu bukanlah mudah.
Malah untuk menjadi artis juga tidak semudah sekarang. Hanya yang benar-benar berkualiti dan bermutu sahaja yang mampu melonjakkan namanya.
Jadi yang sampai ke halwa telinga para peminat semuanya berkualiti baik dari segi kekuatan vokal artis sehinggalah kepada susunan muzik.
Namun suasana itu kini tidak lagi semeriah dahulu.
Muzik rock kini mungkin sedikit terpinggir namun masih ada sebenarnya yang kekal dalam arena perjuangan ini.
Masih ada yang datang memenuhi ruang apabila kami adakan persembahan, cumanya mungkin tidak seramai dan semeriah dahulu.
Walau apapun kami tidak pernah salahkan artis baharu, jauh sekali peminat muzik. Itu hak mereka dan soal rezeki masing-masing.
Zua ialah pemain bass kumpulan XPDC yang kini masih bergiat aktif dalam arena muzik rock tempatan.
Pandangan yang diutarakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak berkaitan dengan Astro AWANI.