Rasanya masih belum terlewat untuk Astro Gempak mengucapkan tahniah dan selamat pengantin baru kepada Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim dan Cik Khaleeda Bustamam.

Tunku Ismail Sultan Ibrahim, 30, telah selamat diijabkabulkan dengan Cik Khaleeda Bustaman, 21, pada pagi Jumaat lepas kira-kira jam 10 pagi di Istana Bukit Serene Johor Bahru.

Majlis pernikahan pasangan tersebut telah disempurnakan oleh Mufti Johor, Sohibus Samahah Datuk Mohd. Tahrir Samsudin.

Biarpun istiadat perkahwinan TMJ dan Cik Khaleeda diadakan secara tertutup, namun rakyat negeri Johor berpeluang melihat lebih dekat pasangan itu pada 8 November ini.

TMJ
Tunku Ismail Sultan Ibrahim, 30, telah selamat diijabkabulkan dengan Cik Khaleeda Bustaman, 21, pada pagi Jumaat.

Menurut Yang Dipertua Jumaah Majlis Diraja Johor, Datuk Abdul Rahim Ramli, pasangan tersebut bakal menaiki kereta tanpa bumbung dari Istana Bukit Serene menuju ke Istana Besar Johor, bermula pukul 8 malam hari tersebut.

Beliau berkata, selain berhimpun di sepanjang jalan laluan berkenaan sejauh tiga kilometer itu, rakyat juga boleh menyaksikan istiadat perkahwinan pasangan tersebut menerusi skrin besar yang akan dipasang di Dataran Bandaraya di sini.

"Rakyat boleh berhimpun di sepanjang jalan dari Istana Bukit Serene ke Istana Besar Johor sekiranya mereka mahu melihat lebih dekat pasangan Tunku Ismail dan Cik Khaleeda pada 8 November ini," katanya seperti yang dilaporkan oleh Utusan Malaysia.

TMJ merupakan putera sulung Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar dan Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah. -- Astro Gempak


TMJ
Biarpun istiadat perkahwinan TMJ dan Cik Khaleeda diadakan secara tertutup, namun rakyat negeri Johor berpeluang melihat lebih dekat pasangan itu pada 8 November ini.