Istimewa kali ini, kempen ‘Malaysiaku’ meraikan keberanian serta memberikan penghormatan kepada rakyat Malaysia yang telah berkorban demi negara, serta menzahirkan inspirasi kepada orang ramai untuk berubah ke arah sesuatu yang lebih baik.
Menurut Ketua Pegawai Kandungan dan Konsumer Kumpulan Astro, Henry Tan, setiap tahun Astro meraikan Hari Kebangsaan dengan membawa kisah-kisah terhebat tanah air yang penuh berinspirasi.
“Tahun ini, kami meraikan wira-wira tanah air – Tentera Laut DiRaja Malaysia (TLDM), tokoh-tokoh pengasas serta rakyat Malaysia, dengan kepelbagaian kandungan yang bakal menyemarakkan rasa bangga dalam diri kita sebagai seorang rakyat Malaysia.
“Astro diberi kesempatan untuk terlibat menjayakan filem Paskal, sebuah cerita yang diinspirasikan oleh peristiwa-peristiwa benar, yang merangkumi makna keberanian dan pengorbanan sebenar,” katanya ketika ditemui di sidang media 'Astro Malaysiaku 2018' di Pusat Penyiaran Asia Bukit Jalil di sini pada Isnin.
Selain Paskal yang akan menemui penonton di pawagam pada 27 September ini, Astro akan turut membawakan pelbagai kandungan menarik sepanjang bulan kemerdekaan ini, dari dokumentari ke muzik dan juga kandungan berdurasi pendek untuk dinikmati oleh semua lapisan masyarakat.
Antaranya, siri dokumentari Road to Nationhood oleh Ahmad Yazid dan Sarawak Reclaimed yang menceritakan perjalanan sejarah negeri Sarawak dari jajahan Brooke hingga ke kemerdekaannya sebagai sebuah negeri di bawah naungan Malaysia.
Dokumentari-dokumentari lain yang bakal disiarkan termasuk The Undeclared War, Gemilang 75, Dari Setinggan ke Grand Slam dan The Amazing Malaysian Heroes.
Selain itu, bakat-bakat Astro turut berganding melahirkan sebuah muzik video serta lagu istimewa bertemakan Malaysia seperti Malaysiaku, Suara Malaysia.
Antara yang terlibat dalam muzik video berkenaan termasuk Syamel, Zizi Kirana, Kidd Santhe, Lil J, Ernie Zakrie dan Ara Johari serta barisan penyampai dari Astro Radio dan hos Astro AEC.
Tidak ketinggalan, nama-nama hebat tanah air dalam industri muzik seperti Noh Salleh, Hazama, Usop, Francissca Peter, Zainal Abidin dan Hael Husaini yang terlibat dalam pembikinan versi gubahan lagu-lagu patriotik yang cukup ikonik seperti Tanggal 31, Saya Anak Malaysia dan Setia.
Sebagai tanda terima kasih kepada pelanggan Astro atas sokongan diberikan, Astro turut menawarkan siaran percuma untuk semua saluran Astro di TV, on demand dan Astro GO bermula 30 Ogos hingga 17 September 2018 (tidak termasuk saluran Astro First dan Astro Best).
Manakala pelanggan NJOI boleh menikmati saluran hiburan baru, He110 (Ch110) secara percuma yang menawarkan hiburan seperti kartun kanak-kanak, cerita bersiri dan flem-filem menarik dari Hollywood dan Asia dalam bentuk HD.
Berikut senarai penuh tayangan-tayangan khas sempena Hari Kebangsaan di Astro:
- Gemilang 75: 16 September, 10.00 malam (Astro Prima dan Maya HD)
- Dari Setinggan ke Grand Slam: 31 Ogos, 8.00 malam (Astro Prima dan Maya HD)
- Merdeka Generasi Y: 31 Ogos, 10.00 malam (Astro Prima dan Maya HD)
- Road to Nationhood: Sarawak Reclaimed (Bahagian 1 dan 2): 9 & 16 September, 3.10 petang (National Geographic dan Astro AWANI)
- Road to Nationhood: The Undeclared War: 31 Ogos, 3.10 petang (National Geographic dan Astro AWANI)
- The Amazing Malaysian Heroes: 16 September, 5.00 petang (Astro Prima, Maya HD dan platform digital Gempak)
- Big Seni Artis Lagenda: setiap Rabu dan Sabtu bermula 15 Ogos, 8.30 malam (Astro Prima dan Maya HD)
- My Love My Homeland: setiap Selasa dan Rabu, 28 Ogos – 5 September, 10.00 malam (Astro AEC)
- One Step Higher: 15 September, 8.00 malam (Astro Vaanavil)
- Sultan Azlan Shah: Hakim Cendekiawan Sultan: 10 September, 9.00 malam (Astro Prima dan Maya HD)