KUALA LUMPUR: Sebelum tuah dan rezeki bergolek padanya, aktor ternama Bront Palare hanya mampu memasang impian untuk bekerjasama dengan sutradara antarabangsa, Michael Haussman.

Sejak zaman belajar lagi, Bront sering mengikuti hasil kerja-kerja seni Haussman sama ada sentuhannya pada iklan mahupun video-video muzik yang dihasilkannya.

Kepada Bront, Haussman sentiasa memberi inspirasi kepadanya khususnya berkaitan dengan dunia lakonan.

Justeru, apabila ditawarkan peluang membintangi filem Edge of the World arahan Haussman, rezeki itu disambut Bront dengan penuh kesyukuran.

Bagi Bront, peluang itu datang dengan penuh tanggungjawab, bukan semata-mata untuk memenuhi senarai panjang resumenya.

Masih jelas terbayang di ruang fikirannya, dalam kegembiraan dan keterujaan untuk menimba ilmu dan pengalaman daripada Haussman, tercetus kebimbangan dalam dirinya, bagaimana ekspetasi produksi Edge of the World untuk bekerjasama dengan bakat-bakat tempatan.

Sekalipun sebelum ini, sudah beberapa kali terlibat dalam projek berskala mega dan bertaraf antarabangsa, namun, resam sebagai orang Timur, kebimbangan yang ada dalam diri Bront bersebab.

Bront enggan reputasi dan integriti dia dan rakan-rakan seperjuangannya terjejas hanya kerana kelemahan dan kesilapan-kesilapan kecil.

“Selepas tawaran berlakon Edge of the World sah menjadi milik saya, perkara pertama yang bermain di fikiran saya ialah bagaimana saya boleh memastikan lakonan saya menepati kehedak dan piawaian produksi Haussman.

“Sebelum ke lokasi penggambaran juga, ada kebimbangan yang tercetus bagaimana kelak penerimaan produksi besar itu terhadap bakat-bakat tempatan.

“Namun, apabila selesai penggambaran, saya dapat simpulkan bahawa apabila kita bersedia dan menyiapkan diri untuk menyahut cabaran itu, maka segala kerja akan berjalan dengan baik sehingga menghadirkan kepuasan kepada diri kita,” Bront merumuskan penglibatannya dalam filem Edge of the World terbitan Hollywood yang mula ditayangkan di pasaran Amerika Syarikat pada Jumaat.



Dalam temu bual bersama Astro AWANI, aktor berusia 43 tahun itu menegaskan, dia bersama-sama rakan pelakon tempatan seperti Shaheizy Sam dan Wan Hanafi Su setra pelakon-pelakon tempatan dari Sarawak telah menterjemahkan apa yang diperlukan oleh Haussman dan jalan cerita filem itu.

“Alhamdulillah, komtimen dan dedikasi pelakon tempatan antara elemen yang telah membantu kelancaran penggambaran filem Edge of the World. Ini antara catatan manis saya sepanjang terlibatan dalam filem ini,” ujar Bront yang juga seorang pengarah filem.

Edge of the World pada awalnya dikenali sebagai White Rajah ketika idea penerbitannya dimulakan pada 2016.

Naskhah ini menceritkan sejarah perjalanan kedatangan James Brooke ke Sarawak pada 1841.

Dalam filem yang ditayangkan melalui penstriman bermula hari ini itu, Bront memegang karakter sebagai Pengiran Indera Mahkota.

Edge of the World yang juga bakal ditayangkan di pawagan United Kingdom bermula 21 Jun ini menampilkan Jonathan Rhys Meyers, Dominic Monaghan, Josie Ho dan Ralph Ineson.

Pengarahnya Haussman sebelum ini sangat masyhur sebagai pengarah muzik video penyanyi-penyanyi popular dunia seperti Madonna, Justin Timberlake, Kanye West dan ramai lagi.


Dalam temu bual dengan Astro AWANI, Bront juga berkongsi bagaimana penggambaran Edge of the World mendedahkannya bahawa penciptaan keserasian dalam kalangan pelakon serta kru produksi hal yang perlu dititikberatkan.

Takrifan keserasian dalam gelanggang filem, tegas pelakon Terbaik Dari Langit itu, adalah berkait rapat dengan bagaimana setiap pelakon dan kru boleh saling bekerja sebaik mungkin untuk memastikan kelancaran perjalanan penggambaran.

Bront atau nama sebenarnya, Nasrul Suhaimi Saiffudin berkata, pemahaman keserasian dalam penggambaran bukan hanya terbatas dalam kalangan sesama pelakon sahaja.

Sepanjang dua bulan di Kuching, Sarawak menjalani penggambaran Edge of the World, kata Bront, seluruh pasukan produksi filem itu sangat mementingkan ketepatan menyelesaikan kerja-kerja pembikinan naskhah itu.

“Kita harus tahu bekerjasama dengan produksi luar bermakna kita kena memahami dan menghormati waktu bekerja. Sama juga dengan saya apabila menerima tawaran berlakon di luar negara, saya perlukan hal yang sama daripada orang luar.

“Justeru, dalam usaha untuk memastikan penggambaran berjalan lancar dan ikut masa yang dirancang, maka ia memerlukan chemistry antara setiap seorang yang terlibat dalam produksi itu. Dan itu juga yang saya peroleh dalam Edge of the World,” sambung Bront lagi.

Perjalanan dalam Edge of the World, kata seniman kelahiran Alor Setar, Kedah ini sangat istimewa dan bakal menjadi modal untuk dikongsi pada masa depan kelak.

“Penglibatan dalam filem ini menawarkan nikmat dan kebahagiaan kepada saya. Saya bangga bersama-sama seluruh produksi ini bekerja dengan pengarah hebat. Kebanggaan itu tentu sekali akan saya simpan dalam diri ini dan akan diceritakan pada anak cucu saya,” ujar Bront yang setia menanti ulasan daripada pengkritik dan sarjana filem selain masyarakat keseluruhan.