Juri Maharaja Lawak Mega 2017 (MLM 2017), Neelofa berkata dia tidak kisah namanya dan Fattah Amin dijadikan bahan lawak peserta.
Neelofa, 28, berkata, dia juga tidak berkecil hati atau mengambil serius perkara berkenaan kerana sudah biasa dengan situasi tersebut.
“Saya tak ada rasa kecil hati pun bila mereka jadikan Fattah dan saya sebagai subjek dalam jenaka mereka.
“Tak ada apa-apa yang serius, saya hadir sebagai juri dan saya profesional,” katanya kepada Astro Gempak.
Mengulas mengenai tanggungjawab yang digalasya sebagai juri MLM2017, Neelofa berkata, memberi komen bukan satu perkara yang mudah.
“Saya sebenarnya takut nak bagi komen sebab bimbang menyinggung perasaan para peserta. Lagipun saya tahu, nak buat lawak bukan perkara mudah.
“Walau apapun, saya akan cuba memberi kritikan yang membina supaya para peserta dapat memberi persembahan terbaik seiring dengan nama programnya ‘Maharaja Lawak’, jadi bahan mereka perlu berada di tahap yang sepatutnya,” katanya.
Tambah Neelofa lagi, Nabil Ahmad antara individu yang banyak membantunya untuk memahami tentang lawak.
“Sejak berkawan dengan Nabil saya lebih faham tentang lawak dan ia banyak membantu. Nabil pun bukanlah seorang yang lokek untuk berkongsi.
“Setakat ini saya enjoy dan suka dengan ‘tanggungjawab’ baru saya ini,” katanya.
Selain Neelofa, tiga juri lain yang turut memanaskan kerusi juri ialah Datuk Rosyam Nor, Luna Maya dan Najip Ali.
MLM 2017 yang dihoskan oleh Datuk AC Mizal bersiaran secara langsung dari Royal Teater, Shah Alam pada setiap hari Jumaat, dan disiarkan secara ekslusif di saluran Astro Warna (132) dan Mustika HD (134).
Untuk melihat berita terkini dan video menarik tentang MLM 2017 layari www.astrogempak.com.my/Maharaja-Lawak-Mega atau klik link untuk mengundi Gempak Man Of The Match.