Tiada siapa yang pernah menyangka pasangan yang dilihat sama cantik, sama padan serta cukup ideal tidak ketinggalan berhadapan dengan masalah rumah tangga.
Ketika berita gelora melanda perkahwinan mereka, baik peminat Fattah mahupun Fazura mula mencipta spekulasi.
Pelbagai kisah dikongsi di media sosial – ada segelintir yang sangat berani mereka-reka cerita seolah-olah mereka tinggal serumah dengan Fattah dan Fazura.
Benar, Fattah dan Fazura selebriti dan kehidupan peribadi mereka terdedah pada masyarakat umum secara relatifnya.
Namun, itu tidak memberikan kita tiket secara membuta tuli membuat pelbagai tuduhan dan dakwaan tidak berasas.
Kalau sudah namanya perkahwinan, tentu sekali ada sahaja cabaran dan ujian yang bertandang, apa lagi bagi pasangan popular seperti Fattah dan Fazura.
Sekitar 9 pagi ini, kedua-dua selebriti ini dijangka muncul di Mahkamah Rendah Syariah Petaling, Subang Bestari, bagi menjalani prosiding kedua.
Pada 13 September lalu, Fazura, 41, memfailkan permohonan cerai.
Tindakan itu, tegas Fattah, 33, tidak langsung diketahuinya, sebaliknya, dia hanya mengetahui berita itu melalui media sosial.
"Sejujurnya, saya hanya mengetahui mengenai permohonan perceraian yang difailkan terhadap saya melalui media sosial, terutamanya selepas ia ditularkan.
"Saya amat terkejut dan sedih dengan perkhabaran berita ini. Malah, tanpa sebarang rasa ragu-ragu, saya masih menyayangi Faz (Fazura)," kata Fattah seperti dilaporkan.
Sementara Fazura pula nekad meneruskan penceraian dengan suaminya itu demi maruah dan kesejahteraan hidupnya bersama anak, Nur Fatima Aisya, 4.
Keputusan yang akan dicapai pagi ini di Mahkamah Rendah Syariah Petaling akan menjawab segala persoalan sama ada rumah tangga pasangan itu akan diteruskan atau sebaliknya.
Tentu sekali, doa-doa yang baik akan mengiringi perjalanan hidup mereka khususnya dalam memastikan rumah tangga yang berusia tujuh tahun itu dapat dikekalkan.