Mengikut pertuduhan, Nabila sebagai pemilik kereta didapati membenarkan ibunya menggunakan kenderaan itu dengan LKM tamat tempoh pada 29 September lalu dan tanpa polisi insurans bagi pihak ketiga.
Susulan itu, Nabila, 31, atau nama sebenar Nur Nabila Mohd Razali bersama ibunya Shamsidah Abdul Rahman, 58, didenda RM480 oleh Mahkamah Majistret Alor Gajah, Melaka pada Selasa.
"Sebenarnya kereta itu saya hadiahkan pada ibu dan masih atas nama saya. Jadi, apabila terdapat kesalahan jalan raya membabitkan kenderaan itu, sekali gus sebagai pemilik saya terpalit juga.
"Diakui pada hari kejadian kereta itu memang dipandu ibu. Perkara ini juga sudah dibawa ke mahkamah dan ibu mengaku salah selaku orang kena saman (OKS)," jelasnya dalam satu kenyataan.
Memohon agar kesalahan tersebut tidak disensasikan, bintang Bawah Payung Awan itu berharap insiden yang terjadi dapat memberikan pengajaran kepada orang lain.
"Semoga kejadian ini menjadi pengajaran bukan saja buat saya dan ibu, tapi juga seluruh rakyat Malaysia. Sekali lagi, sebagai pemilik kereta ini saya mohon maaf," katanya. - Sinar Harian