PENYANYI dan pelakon Nabila Razali selamat melahirkan bayi lelaki di sebuah pusat perubatan di ibu kota, tepat jam 10.01 malam tadi.


Ringkasan AI
  • Nabila Razali selamat melahirkan bayi lelaki pada 23 Disember, dan ibu serta bayi berada dalam keadaan sihat.
  • Bayi seberat 3.1 kilogram itu adalah anak sulung Nabila dan suaminya, Nik Iruwan, yang berkahwin tahun lalu.
  • Nabila berkongsi rasa syukur dan berterima kasih kepada semua yang mendoakan kesejahteraannya, dan kini memberi tumpuan kepada keluarga serta fasa baharu sebagai seorang ibu.


Berita gembira itu disahkan wakil pengurusan Nabila Razali Entertainment yang memaklumkan bahawa kedua-dua ibu dan bayi berada dalam keadaan sihat.

Cahaya mata yang dilahirkan seberat 3.1 kilogram itu merupakan anak sulung Nabila hasil perkahwinan dengan Nik Iruwan Nik Izani, 39, pada 18 November tahun lalu.

Nabila, 32, atau nama sebenarnya Nur Nabila Mohd Razali, berkongsi rasa syukur selepas selamat bersalin.

“Alhamdulillah, ini adalah hadiah yang paling bermakna dalam hidup saya.

"Setiap detik yang saya lalui untuk mencapai momen ini penuh dengan cabaran dan harapan, dan akhirnya, Allah kurniakan amanah ini buat saya dan suami.

“Saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua yang sudah mendoakan kesejahteraan saya serta memberikan sokongan tidak berbelah bahagi selama ini,” kata Nabila.

Akaun media sosial milik Nabila dibanjiri ucapan tahniah dan doa daripada peminat dan rakan selebriti buat keluarga kecil Nabila.