Filem baharu arahan Pengarah, Syafiq Yusuf akan ke Indonesia bagi membuat tayangan di negara itu selepas tiga minggu ditayangkan di Malaysia.

Misteri Dilaila bukan sahaja dilihat sebagai sebuah filem seram, ia juga akan membuat penonton sentiasa berfikir bagi menyelesaikan misteri tersebut disamping plot twist yang akan membuatkan anda terpaku apabila menonton.

Bagi Syafiq, beliau cuba mengunakan formula filem thriller dari Korea supaya penonton bukan sahaja dapat menikmati filem seram ini malah dapat mengikuti jalan ceritanya dengan baik.

“Saya banyak tengok filem dari Korea, filem thriller mereka sangat menarik , maknanya kalau kita menonton cerita hantu kita bukan sahaja tunggu hantu itu tetapi kita nak ikut filem itu, itu merupakan formula yang saya cuba buat penonton di Malaysia,” katanya selepas ditemui pada malam gala tayangan filem Misteri Dilaila.

Tambahnya, dia mengambil masa yang agak lama untuk menghasilkan skrip filem ini secara keseluruhan.

Filem usahasama Skop Productions dan Astro Shaw ini menjalani penggambaran sepenuhnya di Bukit Fraser, Pahang.

Filem Ini dibarisi pelakon seperti Zul Arrifin , Rosyam Nor, Namron, Elizebeth Tan, Sasqia Dahuri dan Mas Khan.

Misteri Dilaila akan mula ditayangkan di 131 pawagam seluruh Malaysia, Singapura dan Brunei bermula 21 Februari ini.