Konsert ini merupakan testimoni terhadap komitmen MPO dalam menyediakan platform untuk persembahan muzik Malaysia dalam bentuk orkestra dan mempamerkan bakat anak seni tempatan dalam menyokong melestarikan seni budaya.
Bertemakan Sounds of Borneo, konsert ini meraikan muzik Borneo dan menyatukan rakyat Malaysia melalui nuansa muzik MPO dan kekayaan budaya.
Sempena dengan Hari Malaysia pada September ini, konsert ini adalah manifestasi langkah berterusan MPO untuk meningkatkan taraf muzik Malaysia melalui versatiliti MPO dan untuk masyarakat menghargai kepelbagaian legasi yang kita miliki.
MPO bakal dipimpin oleh Luqman Aziz yang merupakan konduktor bersekutu, pengarah muzik dan penggubah untuk Orkestra RTM.
Konsert ini bakal menyaksikan persembahan sulung artis-artis kelahiran Malaysia Timur di pentas DFP: vokalis Marsha Milan dan Velvet Aduk (Sabah), serta pemain sape Alena Murang (Sarawak).
Berketurunan Kadazan-Dusun, Marsha mempunyai pengalaman 15 tahun dalam industri muzik; merupakan finalis Anugerah Juara Lagu (TV3) tahun 2022 dan 2023, melahirkan dua album studio dan pernah berkolaborasi dengan artis-artis terkenal.
Velvet Aduk ialah penyokong tegar muzik tradisional Sabah; lagu-lagu ciptaan beliau Sumandak Sabah dan Oi Gaman telah mendapat jutaan tontonan di YouTube.
Alena Murang pula mula mendapat pengiktirafan antarabangsa melalui pelbagai kemenangan untuk muzik video dan filem etnik.
Bersama MPO di malam sinergi hebat, hanya di DFP! Antara lagu yang akan dipersembahkan termasuk Gitu’an, Pemung Jae, Sumandak Sabah, Insan Tadau, Panaon, Aramaitii, Panaon, Bejugit Betanda Menari dan lagu-lagu rakyat seperti Meno, Midang Midang, Jambatan Tamparuli, Put Burui, Datun Julud dan Puteri Santubong. -Gempak