PELAKON Hafreez Adam meluahkan rasa kecewa apabila ada pihak yang mengkritik isu jerawat batunya yang menjadi viral kerana sebuah artikel.
Menurut Hafreez, dia berkongsi kisah tersebut dengan niat yang baik namun lain pula jadinya apabila niatnya itu telah disalah tafsir.
“Tujuan saya kongsi pengalaman kisah jerawat itu pada umum adalah untuk dijadikan sebagai motivasi kepada mereka yang kurang yakin terhadap diri sendiri dan alami masalah (jerawat) sama seperti saya.
“Tapi lain pula yang jadi bila ada pihak yang mengkritik artikel itu hanya berdasarkan tajuk tanpa membaca keseluruhan isi kandungan cerita tersebut.
“Saya menganggap isu ini hanyalah salah faham dan saya tidak menyalahkan sesiapa pun dalam perkara ini cuma terdetik rasa sedikit kesal kerana orang cepat menilai tanpa mengetahui perkara sebenar,” katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran Anugerah Pilihan Online (APO), bertempat di Zebra Square Kuala Lumpur, pada Khamis.
Hafreez atau nama sebenarnya Hafreez Adam Aizat Zahalan, 26, juga mengakui disebabkan isu tersebut dia tidak keluar rumah selama tiga hari dan mengelak bertemu orang ramai.
“Selepas artikel itu jadi viral, setiap kali upload gambar di Instagram pasti ada saja kata-kata negatif yang diberikan kepada saya dan boleh dikatakan hampir setiap harilah.
“Nak kata tertekan sangat itu tidaklah, cuma saya rasa kurang yakin untuk berdepan dengan orang ramai. Jadi daripada mendengar orang berkata buruk tentang saya lebih baik saya elakkan.
“Ahli keluarga juga turut diajukan dengan pelbagai soalan mengenai isu tersebut dan saya juga telah beri penjelasan pada mereka. Alhamdulillah mereka faham situasi saya.
“Selain itu saya juga telah memberi penjelasan sepenuhnya melalui akaun Instagram saya dan harap lepas ini tiada lagi salah faham,” jelasnya.
Dalam perkembangan lain, Hafreez bakal muncul dengan filem keduanya berjudul Selamatkan Hari Jadi pada 17 Mac ini.
Terdahulu, isu jerawat batu Hafreez Adam menjadi viral di laman sosial gara-gara tajuk artikel bertajuk ‘ 'Hafreez Trauma Jerawat Batu'.