PERSONALITI media sosial, Khairul Aming membuat kemunculan istimewa pada acara Keretapi Sarong 2024 dengan mengetuai bacaan ikrar Rukun Negara.


Ringkasan AI
  • Khairul Aming mengetuai bacaan ikrar Rukun Negara di acara Keretapi Sarong 2024 di Matic Kuala Lumpur.
  • Beliau mengingatkan peserta untuk berbangga menjadi anak Malaysia dan berterima kasih kepada Locco kerana menganjurkan acara tersebut.
  • Acara turut dimeriahkan oleh Pinn Yang, Azfar Heri, Hael Husaini, dan Noraniza Idris.


Khairul Aming mengetuai bacaan ikrar tersebut bersama ribuan peserta acara berkenaan yang berkumpul di Matic Kuala Lumpur pada Sabtu.

Pempengaruh yang popular dengan kandungan masakan itu juga mengingatkan semua peserta yang hadir supaya berbangga menjadi anak Malaysia kerana tiada negara lain yang mempunyai keunikan seperti ini.

“Terima kasih kepada LOCCO kerana menganjurkan satu acara yang sangat bagus untuk negara kita.

“Sebagai anak Malaysia, saya rasa sangat-sangat terharu kerana kita dapat berhimpun beramai-ramai dengan pelbagai agama, pelbagai bangsa, dan sejujurnya tiada negara yang unik seperti Malaysia.

“Ingat, inilah tanah air kita. Sama-samalah kita jaga dan berbanggalah menjadi seorang anak Malaysia,” ujar Khairul Aming ketika menyampaikan ucapan semasa acara Keretapi Sarong 2024.

Bacaan ikrar itu juga disertai oleh wakil komuniti daripada United Malaysia Hindu Voice, Suren.

Selain Khairul Aming, acara tersebut turut meriah dengan kehadiran pempengaruh Pinn Yang dan Azfar Heri, penyanyi Hael Husaini, serta Ratu Etnik Malaysia, Noraniza Idris.

Untuk makluman, Keretapi Sarong 2024 merupakan program anjuran LOCCO, iaitu organisasi yang membantu mempromosikan aktiviti kebudayaan menerusi penganjuran Keretapi Sarong sejak 2017.. -Gempak