Ketua Polis Daerah Tangkak, Superintenden Roslan Mohd Talib berkata, letupan dipercayai berlaku ketika semua pekerja terlibat sedang melakukan kerja penyelenggaraan ke atas lima mesin yang sedang beroperasi.
“Pihak polis menerima laporan kira-kira pukul 2 petang semalam yang mana letupan itu menyebabkan sembilan pekerja mengalami kecederaan parah.
“Rentetan itu, dua daripada mangsa yang terlibat disahkan meninggal dunia selepas dihantar ke Hospital Tangkak dan Hospital Pakat Sultanah Fatimah Muar (HPSF),”katanya dalam kenyataan di sini.
Mengulas lanjut katanya, kedua-dua mangsa yang maut itu berusia lingkungan 40-an dan 50-an, manakala tujuh lagi mangsa masih menerima rawatan di Zon Merah HPSF.
Katanya, daripada jumlah mangsa, enam mangsa merupakan lelaki warga tempatan, manakala masing-masing seorang lelaki warga Bangladesh, seorang warga Nepal dan seorang warga Myanmar.
Roslan berkata, proses bedah siasat dijalankan pagi Selasa dan siasatan diklasifikasi sebagai mati mengejut.
Beliau turut menasihatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu siasatan atau menimbulkan keresahan dalam kalangan masyarakat.
