"ADA nampak mummy happy? Mummy tak nak Shima senyum!"

Bagi peminat dan pemerhati dunia hiburan, tentunya pernah mendengar ungkapan itu, yang diucapkan oleh salah seorang juri D'Academy Asia 3, Mas Idayu, minggu lalu.

Bukan biasa-biasa kerana komen bernada herdikan itu bukan sahaja merentap hati peserta terbabit, Baby Shima, tetapi juga penonton.

Namun apa yang melucukan adalah reaksi netizen selepas video tersebut tular.

Jika pada awalnya ramai yang mengkritik komen pedas Mas Idayu, tetapi kini ia menjadi ikutan dan satu punchline melucukan oleh netizen, khususnya di laman sosial.

Ada yang menyertakan quote berkenaan sebagai kapsyen pada gambar, ada yang meletakkannya dalam penceritaan dan lebih menggelikan hati, ada yang memuat naik quote itu sebagai status tanpa sebarang gambar atau kapsyen lain.









Komen itu diberikan Mas Idayu kepada Baby Shima selepas wakil Malaysia itu menyampaikan lagu Wulan Merindu dalam konsert mingguan yang berlangsung 12 November lalu.

D'Academy Asia merupakan program realiti berteraskan nyanyian di Indonesia, yang mengumpulkan peserta dari Malaysia, Singapura, Brunei, Thailand dan Timor Leste, selain dari negara tuan rumah.

Ia bersiaran di saluran Indosiar selama lima jam dan mendapat rating yang tinggi di negara itu.