PENYANYI Hafiz Suip mengesahkan dia dan isteri, Nureffy Jasreel Abdullah dalam proses untuk bercerai.

Hafiz yang antara lain terkenal dengan lagu Terus Bersinar itu, turut mendedahkan dia dan isteri dalam proses rundingan mengenai hak penjagaan dua anak mereka.

“Kami masih suami dan isteri cuma tidak sebumbung disebabkan dalam proses cerai.

“Kami sedang berunding hak penjagaan anak-anak,” katanya berkongsi perkembangan itu ketika ditemu bual penerbit rancangan Melodi, Michelle Wee pada Khamis malam.

Berkongsi lanjut, Hafiz berkata, dia berusaha untuk menyelesaikan masalah rumah tangganya itu dengan baik tanpa sebarang campur tangan pihak luar.

“Saya cuma nak selesaikan dengan cara yang baik tanpa ada gangguan daripada pihak-pihak yang lain. Cukup saya simpan sendiri perkara ini.

“Kalau dah memang kami sudah tiada persefahaman, saya akan lepaskan dengan cara baik.

“Tak mahu rumitkan keadaan, biarlah semuanya selesai cara baik jangan anak-anak jadi mangsa keadaan,” katanya yang mendirikan rumah tangga bersama Nureffy pada 14 Mei 2016.

Mereka dikurniakan dua cahaya mata iaitu Muhammad Riyadh Zafri, 8, dan Muhammad Alkaf Zayne, 5.