PEMBUKA tirai filem untuk bulan Jun tahun 2018 adalah filem dinosaur yang ditunggu-tunggu oleh ramai peminat filem bergenre aksi / thriller.

Menggunakan haiwan yang telah pupus ini sebagai subjek utama filem, Jurassic World: Fallen Kingdom terbitan Universal Pictures adalah sekuel kepada Jurassic World yang telah ditayangkan pada tahun 2015.

Filem ini masih membariskan hero dan heroin yang sama iaitu Chris Pratt sebagai Owen Grady dan Bryce Dellas Howard sebagai Claire Dearing serta ramai lagi pelakon lain dan ada beberapa penampilan cameo istimewa daripada pelakon asal filem "Jurassic Park" seperti Jeff Goldblum.



Filem ini adalah di luar jangkaan penulis sendiri kerana pada mula trailer filem ini tular di internet, ramai pihak beranggapan trailer ini telah membocorkan skrip dan juga plot filem.

Tetapi setelah menontonnya sendiri, ternyata ia filem yang “mind-blowing” dengan penuh “plot-twist” sepanjang 2 jam 10 minit tayangannya.

Biarpun ia cuma hiburan, namun filem ini juga mengajar kita bahawa kemusnahan alam dan kepupusan haiwan ini mungkin disebabkan oleh kita sendiri yang mencampuri dan mengganggu urusan alam semulajadi.



Adegan pembukaan filem ini sangat menarik dan penuh dengan easter egg atau pun rujukan kepada trilogi filem Jurassic Park dan juga filem Jurassic World 1.

Pengarah filem J.A Bayona, menggunakan signature move T-Rex di awal adegan filem untuk memastikan penonton melekat di kerusi dan tidak senang duduk menontonnya.

Garis masa filem ini berkisar pada tiga tahun selepas kejadian kemusnahan yang terjadi di taman tema dan resort mewah Jurassic World oleh dinosaur yang terlepas dari kurungan.

Isla Nublar, pulau yang menempatkan Jurassic World kini ditinggalkan oleh manusia, manakala dinosaur yang masih hidup kian terancam akibat gunung berapi di pulau itu yang bakal meletus.



Chris Pratt sebagai Owen Grady

Salah satu babak di dalam Jurassic World: Fallen Kingdom

Owen dan Claire ingin menjalankan kempen operasi menyelamat bagi menyelamatkan dinosaur yang masih hidup dari sekali lagi diancam kepupusan, terutamanya Blue satu-satunya spesies Velociraptor yang masih hidup.

Operasi ini juga dibantu oleh syarikat hartanah Lockwood yang dimiliki oleh Benjamin Lockwood iaitu rakan baik kepada Dr John Hammond.

Anda masih ingat siapa Dr John Hammond? Syarikat hartanah Lockwood ini diuruskan oleh Eli Mills yang diamanahkan oleh Benjamin Lockwood untuk menyelamatkan dinosaur yang masih hidup di Jurassic World tetapi Eli Mills mempunyai niat yang sebaliknya.



Kedengaran seperti skrip yang klise tetapi filem ini penuh dengan aksi yang menarik dan mantap serta jalan cerita yang cukup “mind-blowing” dipenuhi dengan “plot-twist” yang di luar jangkaan.

Selain itu, kemunculan spesies dinosaur yang baharu yang dikatakan lebih ganas dan mampu menjadi senjata perang yang unggul juga merancakkan lagi perjalanan filem ini.



Antara adegan yang cemas di dalam Jurassic World: Fallen Kingdom

Untuk menambah rencah dan perisa pada filem ini, pengarah berjaya menyentuh emosi penonton dengan mengajar erti kasih sayang antara makhluk dan memberi peluang kepada semua hidupan di muka bumi ini untuk terus hidup.

Realiti zaman sekarang tidak terlepas dengan sikap tamak manusia, politik yang tidak berkesudahan, dan mencampuri urusan alam semulajadi membuatkan haiwan yang makin terancam terus terancam.

"Jurassic World: Fallen Kingdom" boleh dikategorikan sebagai filem wajib tonton tahun 2018, bukan hanya kerana jalan cerita dan CGI-nya, tetapi juga nilai pengajaran kepada kita untuk terus memelihara alam ciptaan Tuhan.