Pengarah filem Manisnya Cinta Di Cappadocia, Bernard Chauly bersama syarikat produksi filem itu menitik-beratkan aspek keselamatan sewaktu melakukan penggambaran di Cappadocia.

Salah satu adegan dalam filem itu memaparkan pelakon Shaheizy Sam dan Fazura menaiki belon panas di sana.

Susulan insiden belon panas yang berlaku, Astro AWANI segera mendapatkan reaksi pengarah tersebut.

“Sewaktu melakukan penggambaran di Cappadocia pada Mei tahun 2013, kami sedar akan berdepan dengan risiko yang tinggi. Lebih-lebih lagi insiden yang sama pernah berlaku tahun lalu sebelum penggambaran. Kami memberikan keutamaan yang tinggi untuk bekerjasama dengan syarikat belon panas yang terbaik dan memiliki rekod keselamatan yang cemerlang, jurupandu yang berpengalaman dan memiliki polisi insuran terbaik." ulas Bernard kepada Astro AWANI menerusi Facebook.

Tambahnya, tiada aktiviti yang tidak memiliki risiko, ini termasuklah aktiviti menaiki belon panas.

“Aktiviti belon panas sememangnya tidak pernah terlepas daripada sebarang kemalangan tetapi kami memastikan untuk menggunakan khidmat daripada syarikat yang diyakini.”

Bernard turut berharap mereka yang tercedera akan cepat sembuh dan dapat meneruskan aktiviti mereka seperti sediakala.

“Sesuatu yang tidak dijangkakan apabila insiden sebegini berlaku. Saya akan terus mengikuti perkembangan terkini insiden ini dan berharap mereka yang tercedera selamat dan dapat meneruskan aktiviti mereka. Ia adalah tragedi apabila seorang warga China yang dikenali sebagai Tang Yi maut akibatnya.” akhiri Bernard.

Filem Manisnya Cinta Di Cappadocia kini sedang ditayangkan di pawagam seluruh Malaysia.