KUALA LUMPUR:Pakej Rangsangan Industri Kreatif Malaysia (PRISMA) yang dilancarkan pada Jumaat berupaya memanfaatkan semua penggiat industri kreatif tempatan termasuk kategori filem.

Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) dalam kenyataan memaklumkan suntikan dana untuk menggerakkan semula ekonomi industri kreatif dalam mendepani impak pandemik COVID-19 itu amat dihargai.

"Finas amat menyambut baik segala usaha yang memberi manfaat kepada penggiat industri kreatif sekali gus berupaya memacu industri kreatif tempatan ke persada antarabangsa.

"Besarlah harapan Finas agar seluruh penggiat industri kreatif dapat menjunjung semangat kebersamaan serta mengetepikan perbezaan pandangan dalam mendepani cabaran dan tekanan ekonomi semasa akibat penularan wabak COVID-19," menurut kenyataan itu.

PRISMA, inisiatif jangka pendek dilaksanakan Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM), bertujuan memastikan kelangsungan dan kelestarian penggiat dan pemain industri kreatif negara dalam mendepani impak pandemik COVID-19 yang dijangka memanfaatkan lebih 9,000 penggiat serta pemain industri kreatif.

Semasa melancarkannya, Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Saifuddin Abdullah berkata penggiat dan pemain industri kreatif bakal menerima manfaat PRISMA yang berjumlah RM89.2 juta dan sekurang-kurangnya 40,000 peluang pekerjaan dijangka diwujudkan melalui pelaksanaan program-program di bawahnya.

 
 
-- BERNAMA