Enam finalis; Siti Nordiana, Farahdhiya, Ezad, Acong, Haiza dan Nassier Wahab, bakal berentap dalam persaingan akhir Gegar Vaganza(GV) musim kedua bagi merebut RM100,000 dan sebuah single terbitan Astro.
Meredakan sedikit debaran, mari kita lihat apa yang boleh dijangkakan daripada finalis-finalis hebat ini.
Enam finalis bakal bersaing merebut hadiah RM100,000 dan sebuah single terbitan Astro.
Siti Nordiana
Peserta paling konsisten. Selama lapan minggu dalam GV, tidak ada satu pun persembahannya yang mengecewakan. Nana bolehlah dikatakan bukan sahaja the crowd's favourite, malah juri-juri juga, untuk dinobatkan sebagai juara.
Ramalan: Putus Terpaksa nyanyian asal Ziana Zain, dijangka cemerlang di tangan Nana. Bagaimanapun, menarik untuk menyaksikan bagaimana Nana melagukan Awak Kat Mana dalam pusingan Battle.
BACA: Gegar Vaganza 2: Selepas Mengapa, Siti Nordiana Semakin Popular
BACA: Gegar Vaganza 2: Azian tersingkir, enam peserta ke konsert akhir
Farahdhiya
Mungkin saingan paling hebat untuk Nana. Kelebihan Farahdhiya terletak pada tone vokal yang unik dan versatilitinya. Tiada siapa yang akan melupakan bagaimana Farah yang ayu, tiba-tiba menjadi 'ganas' menerusi persembahan lagu Enter The Sandman beberapa minggu lepas.
Ramalan: Farah punya big voice, tetapi agak 'gerun' untuk menyaksikan bagaimana Farah membawakan lagu Janji Manismu dendangan asal Aishah.
Haiza
Mungkin antara peserta paling mengejutkan musim ini. Masakan tidak, dia yang sebelum ini membina nama sebagai penyanyi dangdut, tiba-tiba bertukar wajah. Pop, rock, R&B dan dangdut; sebut apa sahaja genre, semuanya berjaya dibawa dengan cara tersendiri.
Ramalan: Haiza diberi tanggungjawab menyanyikan lagu dendangan asal Ayai (Ilusi), juara Gegar Vaganza musim pertama pertama. Melihat kepada persembahan Haiza sepanjang GV, Puisi Cinta dijangka tidak memberi masalah buatnya.
Nassier Wahab
Penyanyi paling senior dalam senarai finalis tahun ini. Boleh dikatakan agak low profile berbanding peserta lain, namun kualiti vokal dan persembahannya tidak pernah mengecewakan.
Ramalan: Sama seperti Haiza, lagu Gelombang Cinta nyanyian asal Heavy Machine dijangka mampu dibawa dengan baik oleh Nassier.
BACA: 5 sebab kenapa Gegar Vaganza 'trending' musim ini
Acong
Bekas vokalis kumpulan Sweet Child ini memanfaatkan sepenuhnya peluang kedua yang diberikan. Juga antara peserta yang mengejutkan ramai musim ini. Bukan selalu kita melihat sisi 'serius' Acong yang kini lebih dikenali sebagai pelakon komedi.
Ramalan: Memiliki suara serak basah, Acong dijangka akan memberi persembahan yang mantap menerusi lagu Seruan dari Lefthanded.
Ezad
Boleh disifatkan sebagai peserta yang kreatif dan tidak takut bereksperimen. Vokalnya pula tidak perlu dipertikaikan. Juga disebut-sebut berpotensi besar diangkat sebagai juara.
Ramalan: Ezad punya tanggungajawab yang sangat mencabar dalam konsert akhir ini apabila diberi tugas untuk menyampaikan lagu ciptaan sifu, Datuk M.Nasir, iaitu Nur Nilam Sari. Pasti satu persembahan yang dinantikan.
Bagaimana pula dengan anda? Siapa yang anda rasakan layak menjadi juara?