FILEM terbaharu berjudul "Ola Bola" sentuhan pengarah ‘box-office’, The Journey, Chiu Keng Guan mengangkat kisah benar pemain bola sepak negara era 80-an.

Filem "Ola Bola" turut memaparkan semangat juang pemain bola sepak negara yang pernah mengharumkan nama Malaysia apabila layak ke Sukan Olimpik Moscow, Rusia pada 1980.

Menurut Keng Guan, dia sudah lama ingin menghasilkan filem berkaitan sukan bola sepak dan impiannya kini tercapai.

“Saya memang peminat bola sepak dan pernah menjadi penyerang utama untuk pasukan bola sepak sekolah dan di peringkat universiti dulu.

“Selepas terbabit dalam bidang perfileman, saya bertekad menghasilkan filem mengenai bola sepak ini.

"Sebenarnya, saya ingin mengimbau semula sejarah dan zaman kegemilangan pasukan bola sepak kebangsaan yang layak ke Sukan Olimpik itu,” katanya.

Aktor hebat, Bront Palarae dan Pelakon Lelaki Terbaik di Festival Filem Malaysia ke 27(FFM), Frankie Lee turut ditampilkan di dalam filem ini.

Selain itu, ia turut mempertaruhkan barisan bakat baharu seperti Muhd Luqman Hafidz, Chee Jun Cherng dan Low Sin Mun.

Ditanya sama ada filem Ola Bola lebih hebat daripada The Journey, Keng Guan berkata, pihaknya menjanjikan kualiti dan kelainan dalam filem itu.




“Saya juga berdepan tekanan kerana tanggapan orang pada saya juga sangat tinggi selepas kejayaan 'The Journey' yang mencatat kutipan keseluruhan sebanyak RM17.6 juta sebelum ini.

“Apapun, jangan lepaskan peluang untuk menonton filem ini pada 28 Januari 2016, kerana ia khusus untuk rakyat Malaysia.

"Pada masa sama, filem ini turut menggunakan 60 peratus bahasa kebangsaan dan selebihnya bahasa Tamil dan Mandarin,” katanya.

Filem terbitan Astro Shaw ini menampilkan produksi Woo Hoo Pictures. Selain OlaBola, Astro Shaw pernah menerbitkan filem blockbuster seperti The Journey, Suamiku Encik Perfect 10!, Pilot Cafe, Ombak Rindu, Hantu Kak Limah Balik Rumah dan terbaru adalah Polis Evo.

Untuk mendapat info terkini tentang OlaBola, sila layari lawan web www.olabola.tv serta ikuti akaun instagram di olabola.tv.


Sinopsis

Berlatarkan penghujung era 1970-an, filem Ola Bola berdurasi 1 jam 51 minit ini diterbitkan Astro Shaw Sdn Bhd dengan kerjasama Woohoo Pictures.

Ia diilhamkan daripada kisah benar dan menceritakan mengenai semangat juang pasukan bola sepak negara untuk bangkit daripada kekecewaan, sekali gus muncul wira negara.

Kehilangan Tauke yang mengundur diri gara-gara masalah kewangan juga menyukarkan skuad itu, namun, segala rintangan dapat diatasi terutamanya dengan kehadiran ‘pemain no. 12’ iaitu ribuan peminat yang tidak jemu-jemu menyokong skuad negara di stadium ketika berdepan lawan yang jauh lebih kuat pada waktu itu.